BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, June 16, 2009

Nabi-Nabi Dan Rasul-Rasul Hanya Dari Arab Dan Israil?

Kebanyakan kita mengetahui bahawa Allah swt tidak mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul melainkan dari kalangan bangsa Arab dan Israil sahaja. Tidak bangsa yang lain. Artinya bangsa-bangsa Cina, India, Yunani, Farsi, Rom dan lain-lain bangsa sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw hidup di dalam kejahilan dan kesesatan kepercayaan beratus-ratus abad lamanya. Apakah ini benar?
Tapi mungkin semua kita yang penah baca al-Qur'an telah pun bersua dengan ayat yang bermaksud, " Tiap-tiap umat itu Kami ( Allah swt ) telah utuskan rasul-rasul." Berpandukan kepada ayat di atas, jelas kepada kita bahawa setiap kelompok manusia sejak zaman batu lagi sama ada kelompok itu hidup di penjuru timur dunia, barat, utara, selatan atau tenggara tetaplah telah diutus nabi-nabi dan rasul-rasul dari bangsa mereka sendiri. Ini bererti bahawa telah diutuskan oleh Allah swt beberapa orang nabi-nabi dan rasul-rasul dari kalangan orang-orang Cina di negeri Cina, di kalangan orang-orang India di benua kecil India, di kalangan orang-orang Yunani, Farsi, Rom dan lain-lain bangsa yang pernah wujud di alam dunia ini.
Oleh itu saya pencaya bahawa Confucius, Mao Tze, Lao Tze dari bangsa Cina. Buddha dari India. Beberapa orang yang disebut sebagai tokoh-tokoh falsafah dari Yunani seperti Socrates, Plato, Aristotle, Xenophanes dan lain-lain lagi adalah nabi-nabi dan rasul-rasul belaka. Bahkan saya percaya bahawa Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam sejarah dunia itu ialah ' Iskandar ' Zulkarnain yang diceritakan oleh al-Qur'an, sekalipun ramai yang mendakwa bahawa Zulkarnain yang disebut dalam al-Qur'an itu bukan bukan Iskandar Zulkarnain dalam sejarah dunia. Kerana alasannya Iskandar Zulkarnain dalam sejarah dunia adalah seorang yang tidak beriman, zalim, pembuat maksiat dan lain-lain kejahatan yang dilakukannya. Adapun Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam al-Qur'an adalah seorang raja yang salih, beriman malah mungkin seorang nabi yang mulia. Lalu mereka mencari-cari siapakah Iskandar Zulkarnain yang di dalam al-Qur'an itu di dalam sejarah dunia. Lalu bertemulah kepada mereka seorang raja Farsi bernama Darius lll. Padahal raja itu amat jauh sejarah keagungan pemerintahannya jika dibandingkan dengan sejarah Iskandar Zulkarnainin Yang Agong atau Alexander The Great. Malah amat bertentangan pula sejarah mereka.
Raja Darius lll langsung tidak menguasai bumi timur dan barat seperti yang dilakukan oleh Iskandar Zulkarnain. Iskandar Zulkarnain menguasai bumi timur ( sehingga India ) dan barat ( iaitu separuh Laut Hitam ) serupa dengan yang disebut oleh al-Qur'an. Tapi kenapakah ahli-ahli sejarah dunia yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang bukan Islam tidak mahu mengakui Iskandar anak Raja Phillips dari negeri Macedunia itu ialah Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam al-Qur'an?
Tak lain semata-mata kerana dikatakan Iskandar Zulkarnain dari Macedunia ini adalah seorang raja kafir dan musyrik. Sedangkan Iskandar Zulkarnain dalam al-Qur'an adalah seorang suci dan beriman. Inilah sebabnya.
Sebenarnya saya telah menetapkan bahawa Iskandar Zulkarnain dari Macedunia itu adalah orang yang sama dengan ( Iskandar ) Zulkarnain dalam al-Qur'an. Kenapa saya berani berkata demikian? Sebab sejarah Iskandar Zulkarnain Macedunia itu sebenarnya tidak seperti yang ditulis dalam sejarah dunia. Sejarah yang sebenar hanyalah mengenai penaklukan dari barat ke timur. Manakala sejarah tentang peribadinya telah pun diselewengkan oleh penulis-penulis sejarah dunia yang berjiwa kotor yang sangat benci kepada raja besar yang suci lagi beriman kepada Allah swt.
Sejarah Iskandar Zulkarnain sebenarnya suci dan salih.
Kalau anda tidak percaya, cuba anda fikir dan perhatikan hal-hal nabi-nabi yang telah disucikan oleh lidah Rasulullah saw. Saya yakin kalaulah tidak kerana adanya wahyu kepada Rasulullah saw yang sudah pasti seluruh dunia mengatakan bahawa Nabi Lut as itu adalah penzina yang menzinai anak-anak perempuannya. Nabi Musa as itu seorang pembunuh kerana telah membunuh saudaranya Nabi Harun as di atas bukit Hud. Nabi Harun as pula adalah seorang nabi penyembah patung berhala, kerana menyembah patung anak lembu emas. Nabi Daud as adalah seorang perampas isteri orang kerana mengikut nafsu berahinya. Nabi Sulaiman as juga menyembah berhala kerana ingin menyenangkan hati isterinya yang ramai. Siti Maryam pula telah berzina. Manakala Nabi Isa as mengaku dirinya anak Allah swt.
Kenapakah orang-orang Islam sekarang tidak mengatakan bahawa nabi-nabi yang suci itu seperti yang ditulis oleh penulis-penulis Yahudi yang sangat jahat itu? Dan kenapakah orang-orang Islam sekarang mengakui pula kisah Iskandar Zulkarnain seperti yang ditulis oleh tangan-tangan kotor Yahudi?
Di sini jelas kepada kita bahawa orang-orang Islam tidak menerima kisah-kisah yang ditulis oleh tangan-tangan Yahudi, hanyalah kisah-kisah nabi dan rasul yang terkenal sahaja. Manakala kisah-kisah yang tidak disahkan oleh al-Qur'an, apakah orang itu nabi atau tidak, maka apabila tangan-tangan kotor Yahudi menulis untuk memburuk-burukkan mereka, orang-orang Islam tidak lagi terlintas di fikiran untuk menyangka lain daripada yang ditulis oleh ahli-ahli sejarah. Oleh itu setiap nabi-nabi, orang-orang suci yang tidak dibersih oleh al-Qur'an semuanya menjadi mangsa tangan jahat penulis-penulis Yahudi. Ajaran Socrates, Plato, Aristotles, Xenophanes, Buddha, Confucius, Lao Tse dan lain-lain telah diseleweng hinggakan tidak lagi ajaran-ajaran mereka itu sampai kepada Allah swt. Hinggakan segala para nabi yang suci telah dianggap hanya sebagai para pelupur ajaran-ajaran baru atau sekadar ajaran ahli falsafah sahaja.
Kisah Iskandar Zulkarnain sebenarnya telah diseleweng dan dihilangkan yang aslinya dan diganti dengan yang palsu. Supaya seluruh umat Islam dan umat-umat yang berdasarkan pokok akidahnya kepada ajaran para nabi tidak dapat lagi berbangga bahawa Iskandar Zulkarnain yang agong itu adalah Penakluk Dunia yang salih lagi beriman kepada Allah swt.
Lao Tze adalah seorang rasul dari bangsa China dan untuk orang-orang atau masyarakat China. Ini terbukti pada mukjizat yang dikurniakan oleh Allah swt kepadanya. Dikatakan sebiji mutiara seberat 6.5 karat berbentuk otak manusia bernilai antara US 50 juta - US 150 juta yang dipamir di Amerika Syarikat ( kalau tak silap penulis sekitar tahun 70an atau 80an ) yang dijumpai di Laut Filipina adalah berasal dari azimat yang disimpan oleh Lao Tze dalam sebiji tiram. Ceritanya suatu hari Lao Tze yang salih berjalan-jalan di tepi pantai dengan bertelekan sebuah tongkat di tangan. Kepalanya ditundukkan ke bumi tanda tawadhu' demikian juga matanya. Tiba-tiba ia terpandang sebutir tiram di tepi gigi air. Lantas ia memungutnya, kemudian dikeluarkan dari saku jubahnya sehelai lipatan kertas dan dimasukkan ke dalam tiram itu. Kemudian dicampakkan ke dalam laut sambil mulutnya kumat kumit membaca doa ke hadhirat Allah swt. Itulah tiram berkat yang pernah dijamah oleh tangan seorang Nabi Allah. Beberapa saksi ada menyebut bahawa mereka ada melihat wajah-wajah Buddha, Confucius dan Lao Tze di dalam mutiara itu seperti filem yang jelas kemudian hilang. Sungguh ajaib.
Demikianlah para nabi dan rasul yang Allah utuskan ke alam ini. Bahkan masih ramai lagi yang kita tidak ketahui sejarah mereka. Mereka lebih senang hidup di dalam alam bersama-sama Allah swt. Biarlah dunia tidak mengenali mereka secara tepat dan benar. Asalkan mereka sentiasa mendapat keredhaan Allah swt dunia dan akhirat.
Seandainya andaian saya yang disertai hujjah-hujjah ini tidak menepati kebenaran, saya tetap memohon keampunan kepada Allah swt, Tuhan saya yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang sepanjang masa, asalkan hamba-hambaNya tidak sombong untuk memohon keampunan kepadaNya.

Saturday, June 13, 2009

Al-Qur'an Sebenarnya Dari Allah SWT

Dalil (1)

Firman Allah swt bermaksud, " Jika kamu ( wahai manusia dan jin ) masih ragu-ragu tentang apa ( al-Qur'an ) yang Kami ( Allah swt ) turunkan kepada hamba Kami ( Nabi Muhammad saw ), maka hendaklah kamu datangkan satu surah yang sama dengannya. Dan mintalah pertolongan kepada ketua-ketua kamu ( yang tentunya pintar-pintar ) selain daripada Allah ( yang memang pakar dalam segala-galanya ) sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar ( di dalam mendakwa al-Qur'an adalah ciptaan Muhammad saw ) - al-Baqarah ayat 23.
Ini merupakan suatu tentangan yang paling anih dalam sejarah dan banyak menimbulkan kehairanan. Belum pernah dalam sejarah peradaban manusia, seorang pengarang yang berani mengaju tentangan seperti ini. Penulis mana pun tidak mungkin menghasilkan sebuah buku yang tidak dapat ditentang isinya oleh penulis lain, atau bahkan mungkin lebih baik. Setiap hasil penulisan manusia dalam bidang apapun mungkin sahaja isinya ditandingi oleh pengarang atau penulis lain. Tetapi untuk menentang bahawa ada kata-kata atau ayat yang tidak dapat ditandingi oleh manusia dan jin, dan ternyata tentangan tersebut betul-betul tidak mampu dijawab oleh seorang manusiapun di dalam sepanjang perjalanan sejarah dan peradaban, ini benar-benar satu mu'jizat yang otomatis membuktikan bahawa kata-kata yang dicabar tersebut bukan merupakan hasil otak manusia. Tetapi sebenarnya bersumber dari Tuhan, tidak mungkin dapat ditentang.
Dalam lembaran-lembaran sejarah Islam, tertulis peristiwa-peristiwa di mana para pelakunya tertipu dalam percobaan menjawab tentangan tersebut. Di antaranya ialah yang menimpa diri penyair Arab Lubaid ibn Rabi'ah yang terkenal dengan kepetahan kata-katanya, kefasihan lidahnya dan kekuatan syairnya. Pada waktu ia mendengar Rasulullah saw menentang orang ramai, lantas Lubaid merangkai beberapa buah syair menjawab tentangan tersebut. Syairnya itu kemudian ia gantungkan di pintu Ka'abah. Pada waktu itu menggantung syair di pintu Ka'abah adalah suatu hak istimewa yang hanya teruntuk kepada sekelompok kecil penyair terkenal jahiliyyah bangsa Arab. Tatkala salah seorang sahabat Rasulullah saw melihat perkara itu ( penggantungan syair Lubaid ), maka tersinggunglah perasaannya. Lantas ia menulis beberapa potong ayat al-Qur'an dan menggantungkannya di samping syair Lubaid. Pada hari berikutnya Lubaid melalui pintu Ka'abah ( ketika itu ia masih musyrik ) ia membaca dan sangat terpesona dengan ayat-ayat al-Qur'an itu, lantas dengan spontan ia menjerit, " Demi Allah! Ini bukan kata-kata manusia, dan aku termasuk orang-orang yang menyerah diri ( kepada Allah swt )."
Di antara pengaruh keindahan sastera al-Qur'an terhadap penyair besar bangsa Arab ini, Lubaid tidak mahu lagi mencipta syair. Pada suatu hari Khalifah Umar bin al-Khattab meminta kepadanya, " Wahai Abu Aqil! dendangkanlah untukku beberapa bait syairmu." Lubaid membaca surah al-Baqarah dan kemudian ia berkata kepada Khalifah Umar, " Wahai Amirul Mu'minin! Semenjak Allah swt mengajar kepadaku surah al-Baqarah dan surah ali Imran, aku tidak lagi mendendangkan syair-syair."
Bersambung insya' Allah....................................

Wednesday, June 10, 2009

Ahli Fekah Dan Ahli Hadith

Sekarang muncul satu puak orang-orang Islam kita yang sangat mencintai ajaran Islam yang tulin. Iaitu mereka ingin terus kembali kepada al-Qur'an dan hadith. Tidak mahu lagi mengamali hukum-hukum dan fatwa-fatwa di dalam kitab-kitab fekah yang sangat masyhur di zaman sekarang ini. Kata mereka, banyak fatwa-fatwa di dalam kitab-kitab fekah mengandungi bid'ah yang sesat. Tidak lagi bertepatan dengan kehendak-kehendak al-Qur'an dan hadith. Oleh itu mereka menyeru kepada seluruh umat Islam supaya mempelajari semula sumber asal hukum iaitu al-Qur'an dan hadith. Mereka juga mengatakan umat Islam sekarang berada di ambang kesesatan kerana tidak lagi berpegang kepada kedua-dua sumber asal iaitu al-Qur'an dan hadith. Hanya orang-orang yang berpegang kepada kedua sumber asal sahaja yang tidak akan sesat hingga ke Hari Qiamat, sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud, " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang mana kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu Kitabullah ( al-Qur'an ) dan sunnahku ( hadith-hadith )."
Cuba kita fikirkan, apakah benar perkataan mereka ini? Kalau tidak benar, bagaimana kita berani kata mereka tak benar sedangkan mereka ingin kembali kepada sumber asal? Dan pastinya mereka yang benar. Dan apakah lawan-lawan mereka yang kuat berpegang kepada kitab-kitab fekah itu sesat? kerana meninggal berpegang terus kepada al-Qur'an dan hadith!
Dan sesatlah kebanyakan para sahabat Nabi yang jahil-jahil, bodoh-bodoh dan yang hidup di alam keawaman. Kalau kita dibangkang, bagaimana dikatakan ada di kalangan para sahabat Nabi yang sesat yang dianggap jahil, bodoh dan hidup secara awam?.........bersambung insya' Allah....................

Monday, June 1, 2009

Pahlawan-Pahlawan Terbilang Melayu Alim?

Pahlawan-Pahlawan Melayu Pahang yang terbilang dan paling terkenal ialah Mat Kilau, Dato' Bahaman Orang Kaya Semantan dan Tok Gajah, ayah Mat Kilau. Bersama-sama ketiga pahlawan ini yang juga dianggap handal ialah Mat Lela, Awang Leh ( Saleh ), Awang Teh ( Latif )dan Awang Noh ( Yunus atau Nuh ).
Kalau kita membaca sejarah ulama'-ulama' Terengganu dari tahun 1850 - 1930an, kita akan menemui kisah beberapa orang ulama' Terengganu seperti Tokku Paluh dan Haji Abdul Rahman Limbong. Di zaman Tokku Paluhlah sedang membaranya api perjuangan pahlawan-pahlawan Pahang ini. Mereka dikatakan sering menghubungi Tokku Paluh di Terengganu.
Mungkin ramai daripada kita menganggap bahawa pahlawan-pahlawan Melayu kita tak kira dari mana mereka menggerakkan perjuangan mereka seperti Tok Janggut di Kelantan, Mat Saleh di Sabah, Datok Naning di Negeri Sembilan, Datok Maharaja Lela di Perak dan lain-lain semuanya tidak lebih daripada pendekar-pendekar dan pahlawan-pahlawan yang hanya tahu ilmu kependekaran sahaja. Mereka dianggap jahil di dalam ilmu-ilmu agama dan hukum hakam, malah mereka dianggap memiliki ilmu-ilmu batin yang tidak berasas. Perjuangan mereka menentang kaum kafir penjajah ( Inggeris ) dianggap tidak lebih daripada perjuangan kebangsaan yang menuntut kemerdekaan tanahair semata. Tidak melibatkan niat untuk mendaulatkan agama. Semata-mata untuk menghalau penjajah daripada terus meratah hasil-hasil negara sampai bila-bila dari bumi tercinta tanpa kesudahannya.
Besambung insya' Allah.............................