BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, June 16, 2009

Nabi-Nabi Dan Rasul-Rasul Hanya Dari Arab Dan Israil?

Kebanyakan kita mengetahui bahawa Allah swt tidak mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul melainkan dari kalangan bangsa Arab dan Israil sahaja. Tidak bangsa yang lain. Artinya bangsa-bangsa Cina, India, Yunani, Farsi, Rom dan lain-lain bangsa sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw hidup di dalam kejahilan dan kesesatan kepercayaan beratus-ratus abad lamanya. Apakah ini benar?
Tapi mungkin semua kita yang penah baca al-Qur'an telah pun bersua dengan ayat yang bermaksud, " Tiap-tiap umat itu Kami ( Allah swt ) telah utuskan rasul-rasul." Berpandukan kepada ayat di atas, jelas kepada kita bahawa setiap kelompok manusia sejak zaman batu lagi sama ada kelompok itu hidup di penjuru timur dunia, barat, utara, selatan atau tenggara tetaplah telah diutus nabi-nabi dan rasul-rasul dari bangsa mereka sendiri. Ini bererti bahawa telah diutuskan oleh Allah swt beberapa orang nabi-nabi dan rasul-rasul dari kalangan orang-orang Cina di negeri Cina, di kalangan orang-orang India di benua kecil India, di kalangan orang-orang Yunani, Farsi, Rom dan lain-lain bangsa yang pernah wujud di alam dunia ini.
Oleh itu saya pencaya bahawa Confucius, Mao Tze, Lao Tze dari bangsa Cina. Buddha dari India. Beberapa orang yang disebut sebagai tokoh-tokoh falsafah dari Yunani seperti Socrates, Plato, Aristotle, Xenophanes dan lain-lain lagi adalah nabi-nabi dan rasul-rasul belaka. Bahkan saya percaya bahawa Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam sejarah dunia itu ialah ' Iskandar ' Zulkarnain yang diceritakan oleh al-Qur'an, sekalipun ramai yang mendakwa bahawa Zulkarnain yang disebut dalam al-Qur'an itu bukan bukan Iskandar Zulkarnain dalam sejarah dunia. Kerana alasannya Iskandar Zulkarnain dalam sejarah dunia adalah seorang yang tidak beriman, zalim, pembuat maksiat dan lain-lain kejahatan yang dilakukannya. Adapun Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam al-Qur'an adalah seorang raja yang salih, beriman malah mungkin seorang nabi yang mulia. Lalu mereka mencari-cari siapakah Iskandar Zulkarnain yang di dalam al-Qur'an itu di dalam sejarah dunia. Lalu bertemulah kepada mereka seorang raja Farsi bernama Darius lll. Padahal raja itu amat jauh sejarah keagungan pemerintahannya jika dibandingkan dengan sejarah Iskandar Zulkarnainin Yang Agong atau Alexander The Great. Malah amat bertentangan pula sejarah mereka.
Raja Darius lll langsung tidak menguasai bumi timur dan barat seperti yang dilakukan oleh Iskandar Zulkarnain. Iskandar Zulkarnain menguasai bumi timur ( sehingga India ) dan barat ( iaitu separuh Laut Hitam ) serupa dengan yang disebut oleh al-Qur'an. Tapi kenapakah ahli-ahli sejarah dunia yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang bukan Islam tidak mahu mengakui Iskandar anak Raja Phillips dari negeri Macedunia itu ialah Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam al-Qur'an?
Tak lain semata-mata kerana dikatakan Iskandar Zulkarnain dari Macedunia ini adalah seorang raja kafir dan musyrik. Sedangkan Iskandar Zulkarnain dalam al-Qur'an adalah seorang suci dan beriman. Inilah sebabnya.
Sebenarnya saya telah menetapkan bahawa Iskandar Zulkarnain dari Macedunia itu adalah orang yang sama dengan ( Iskandar ) Zulkarnain dalam al-Qur'an. Kenapa saya berani berkata demikian? Sebab sejarah Iskandar Zulkarnain Macedunia itu sebenarnya tidak seperti yang ditulis dalam sejarah dunia. Sejarah yang sebenar hanyalah mengenai penaklukan dari barat ke timur. Manakala sejarah tentang peribadinya telah pun diselewengkan oleh penulis-penulis sejarah dunia yang berjiwa kotor yang sangat benci kepada raja besar yang suci lagi beriman kepada Allah swt.
Sejarah Iskandar Zulkarnain sebenarnya suci dan salih.
Kalau anda tidak percaya, cuba anda fikir dan perhatikan hal-hal nabi-nabi yang telah disucikan oleh lidah Rasulullah saw. Saya yakin kalaulah tidak kerana adanya wahyu kepada Rasulullah saw yang sudah pasti seluruh dunia mengatakan bahawa Nabi Lut as itu adalah penzina yang menzinai anak-anak perempuannya. Nabi Musa as itu seorang pembunuh kerana telah membunuh saudaranya Nabi Harun as di atas bukit Hud. Nabi Harun as pula adalah seorang nabi penyembah patung berhala, kerana menyembah patung anak lembu emas. Nabi Daud as adalah seorang perampas isteri orang kerana mengikut nafsu berahinya. Nabi Sulaiman as juga menyembah berhala kerana ingin menyenangkan hati isterinya yang ramai. Siti Maryam pula telah berzina. Manakala Nabi Isa as mengaku dirinya anak Allah swt.
Kenapakah orang-orang Islam sekarang tidak mengatakan bahawa nabi-nabi yang suci itu seperti yang ditulis oleh penulis-penulis Yahudi yang sangat jahat itu? Dan kenapakah orang-orang Islam sekarang mengakui pula kisah Iskandar Zulkarnain seperti yang ditulis oleh tangan-tangan kotor Yahudi?
Di sini jelas kepada kita bahawa orang-orang Islam tidak menerima kisah-kisah yang ditulis oleh tangan-tangan Yahudi, hanyalah kisah-kisah nabi dan rasul yang terkenal sahaja. Manakala kisah-kisah yang tidak disahkan oleh al-Qur'an, apakah orang itu nabi atau tidak, maka apabila tangan-tangan kotor Yahudi menulis untuk memburuk-burukkan mereka, orang-orang Islam tidak lagi terlintas di fikiran untuk menyangka lain daripada yang ditulis oleh ahli-ahli sejarah. Oleh itu setiap nabi-nabi, orang-orang suci yang tidak dibersih oleh al-Qur'an semuanya menjadi mangsa tangan jahat penulis-penulis Yahudi. Ajaran Socrates, Plato, Aristotles, Xenophanes, Buddha, Confucius, Lao Tse dan lain-lain telah diseleweng hinggakan tidak lagi ajaran-ajaran mereka itu sampai kepada Allah swt. Hinggakan segala para nabi yang suci telah dianggap hanya sebagai para pelupur ajaran-ajaran baru atau sekadar ajaran ahli falsafah sahaja.
Kisah Iskandar Zulkarnain sebenarnya telah diseleweng dan dihilangkan yang aslinya dan diganti dengan yang palsu. Supaya seluruh umat Islam dan umat-umat yang berdasarkan pokok akidahnya kepada ajaran para nabi tidak dapat lagi berbangga bahawa Iskandar Zulkarnain yang agong itu adalah Penakluk Dunia yang salih lagi beriman kepada Allah swt.
Lao Tze adalah seorang rasul dari bangsa China dan untuk orang-orang atau masyarakat China. Ini terbukti pada mukjizat yang dikurniakan oleh Allah swt kepadanya. Dikatakan sebiji mutiara seberat 6.5 karat berbentuk otak manusia bernilai antara US 50 juta - US 150 juta yang dipamir di Amerika Syarikat ( kalau tak silap penulis sekitar tahun 70an atau 80an ) yang dijumpai di Laut Filipina adalah berasal dari azimat yang disimpan oleh Lao Tze dalam sebiji tiram. Ceritanya suatu hari Lao Tze yang salih berjalan-jalan di tepi pantai dengan bertelekan sebuah tongkat di tangan. Kepalanya ditundukkan ke bumi tanda tawadhu' demikian juga matanya. Tiba-tiba ia terpandang sebutir tiram di tepi gigi air. Lantas ia memungutnya, kemudian dikeluarkan dari saku jubahnya sehelai lipatan kertas dan dimasukkan ke dalam tiram itu. Kemudian dicampakkan ke dalam laut sambil mulutnya kumat kumit membaca doa ke hadhirat Allah swt. Itulah tiram berkat yang pernah dijamah oleh tangan seorang Nabi Allah. Beberapa saksi ada menyebut bahawa mereka ada melihat wajah-wajah Buddha, Confucius dan Lao Tze di dalam mutiara itu seperti filem yang jelas kemudian hilang. Sungguh ajaib.
Demikianlah para nabi dan rasul yang Allah utuskan ke alam ini. Bahkan masih ramai lagi yang kita tidak ketahui sejarah mereka. Mereka lebih senang hidup di dalam alam bersama-sama Allah swt. Biarlah dunia tidak mengenali mereka secara tepat dan benar. Asalkan mereka sentiasa mendapat keredhaan Allah swt dunia dan akhirat.
Seandainya andaian saya yang disertai hujjah-hujjah ini tidak menepati kebenaran, saya tetap memohon keampunan kepada Allah swt, Tuhan saya yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang sepanjang masa, asalkan hamba-hambaNya tidak sombong untuk memohon keampunan kepadaNya.

0 ulasan: