BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 4, 2009

Peranan Mu'jizat Dan Keramat Kepada Para Rasul Dan Wali

Apakah tujuan Allah swt mengurniakan mu'jizat kepada para rasulNya? Kita lihat ada bermacam-macam jenis mu'jizat yang diberikan kepada para rasul. Ada mu'jizat yang bersifat untuk menolong seseorang rasul di dalam perlaksanaan kerja dakwah mereka menghadapi umat mereka. Dan ada juga mu'jizat yang bukan untuk menolong mereka di dalam berdakwah, hanyalah semata-mata untuk menjadi bukti kerasulan mereka sahaja.
Apakah jenis mu'jizat yang diberikan oleh Allah swt kepada para rasulNya adalah sebagai penolong para rasulNya? Sebagai contoh ialah api yang tidak membakar Nabi Ibrahim as. Kedua baju Nabi Yusuf as yang dapat memberi kesembuhan atau kembali pulih mata Nabi Ya'qub as yang telah buta apabila baju itu dicampakkan ke atas mukanya. Ketiga tongkat Nabi Musa as yang dapat membelah laut sehingga menjadi berlorong dan kering dasarnya. Keempat tangan Nabi Daud as yang dapat melembutkan besi sehingga beliau dapat membuat senjata dengan memicit-micit besi sahaja. Kelima angin, segala binatang, segala jin dan syaitan yang bekerja untuk Nabi Sulaiman as. Keenam tangan Nabi Isa as yang dapat menyembuhkan segala penyakit yang tidak mampu disembuhkan oleh doktor dan ketujuh Nabi Muhammad saw hanya melontar pasir di dalam peperangan sehingga musuh tewas.
Itu adalah jenis-jenis mu'jizat yang diberikan oleh Allah swt kepada para rasulNya yang bertujuan untuk menolong perjuangan para rasulNya itu. Dan sudah tentu kita dapat memahami tujuan pemberian atau pengurniaan mu'jizat jenis itu kepada para rasulNya.
Ada satu jenis mu'jizat lagi yang diberikan kepada para rasulNya bukan di atas maksud untuk menolong perjuangan atau dakwah rasul itu, tetapi semata-mata mahu memuliakan mereka sahaja. Sebagai contoh ialah mu'jizat Nabi Musa as iaitu tangannya tiba-tiba bercahaya ketika beliau mengeluarkan dari bawah ketiaknya. Cahayanya pula lebih terang daripada cahaya matahari yang memancar pada tengahari. Satu lagi mu'jizat yang Allah swt berikan kepada Nabi Musa as yang semata-mata untuk memuliakannya sahaja ialah batu menjadi lekuk apabila beliau memukul dengan tangannya sahaja. Ini terjadi ketika beliau mandi di sebuah sungai dan batu melarikan pakaian beliau yang beliau letakkan di atas batu di tepi sungai itu. Peristiwanya bermula dengan cara Nabi Musa as berpakaian iaitu kemas dan rapi dan tidak gemar mandi bersama-sama dengan orang ramai. Pada masa itu orang-orang Israil apabila mandi, mereka mandi secara beramai-ramai dan bertelanjang bulat. Jadi mereka dapat melihat aurat antara satu dengan yang lain. Sikap Nabi Musa as yang tidak suka mandi bersama-sama mereka itu telah menyebabkan kaumnya membuat fitnah dengan mengatakan Nabi Musa as mengalami penyakit buah zakar besar sebab itu dia malu untuk mandi di tempat keramaian. Padahal Nabi Musa as tidak suka mandi dengan bercampur gaul itu. Maka Allah swt mahu memperlihatkan aurat Nabi Musa as kepada kaumnya yang menyangka buruk kepada nabi mereka itu.
Maka berlakulah peristiwa di atas dimana ketika Nabi Musa as mahu mandi, beliau telah memencilkan diri di tempat yang agak terasing daripada orang ramai. Di sana beliau menanggal pakaian beliau dan diletakkan di atas sebuah batu yang agak besar yang terdapat dekat beliau mandi itu. Ketika beliau sudah selesai mandi dan mahu mengambil pakaiannya, tiba-tiba batu itu berlari seperti kura-kura tetapi agak pantas juga menuju ke tempat orang ramai sedang mandi, namun Nabi Musa as sempat mengejar dan menangkap batu itu serta menumbuk dengan tangannya sehingga batu itu jadi lekuk-lekuk. Orang ramai terus mengambil peluang itu dan mendapati Nabi Musa as tidak mengalami apa-apa penyakit burut buah zakar seperti yang mereka fitnahkan.
Marilah kita memperkatakan satu persatu tentang kedua-dua mu'jizat Nabi Musa as ini.
Kalau kita fikir sekali imbas, buat apa Allah swt menjadikan tangan Nabi Musa as bercahaya berkilau-kilauan seperti cahaya matahari, hingga menyilau mata yang memandang kepadanya? Kalau semata-mata untuk memberi cahaya kepada Nabi Musa as, apakah tidak boleh Allah swt menurunkan sebuah lampu suluh dari langit dan diberikan kepada Nabi Musa as? Tentulah tidak lain selain daripada Allah swt mahu memperlihatkan kepada manusia bahawa Dia dapat melakukan segala sesuatu tanpa semestinya berhukum kepada sebab dan akibat. Juga untuk memberitahu kepada manusia bahawa Nabi Musa as itu adalah orang Allah atau Kekasih Allah. Jadi mu'jizat ini adalah semata-mata untuk memuliakan Nabi Musa as pada pandangan mata kaumnya.
Juga apakah gunanya Allah swt menjadikan batu yang keras itu lekuk-lekuk akibat dipukul oleh tangan Nabi Musa as? Apakah tujuanya? Apakah manfaatnya kepada Nabi Musa as dan kaumnya? Apakah ianya bertujuan untuk mengalahkan musuh, iaitu apabila Nabi Musa as memukul batu itu dan ianya lekuk menyebabkan musuh kalah? Atau apakah untuk memberi pertolongan kepada Nabi Musa as iaitu dengan lekuknya batu itu kerana dipukul oleh Nabi Musa as dengan tangannya, menyebabkan makanan keluar dari dalam batu itu, atau terbinanya sebuah rumah yang kukuh? Atau apakah dengan lekuknya batu itu akibat dipukul-pukul dengan marahnya oleh Nabi Musa as dengan tangannya menyebabkan musuh jadi kecut hati setelah melihat kekuatan tenaga Nabi Musa as? Kalau untuk menunjukkan kekuatan Nabi Musa as, supaya musuh-musuh atau kaumnya yang degil-degil, tentulah lebih baik batu itu pecah berkecai daripada menjadi lekuk!
Jadi jelaslah kepada kita bahawa tujuan Allah swt menjadikan batu yang melarikan pakaian Nabi Musa as lekuk-lekuk setelah dipukul oleh Nabi Musa as dengan tangannya adalah tidak lain daripada untuk memperlihatkan kepada manusia bahawa Nabi Musa as adalah seorang nabi lagi rasul yang sebenarnya diutuskan oleh Allah swt kepada kaumnya bani Israil. Lekuknya batu kerana dipukul oleh tangan Nabi Musa as adalah merupakan suatu yang sangat melemahkan manusia terutama musuh-musuh Allah swt. Kerana kalaulah batu itu pecah, tentulah manusia tidak akan merasa begitu pelik kerana sudah menjadi kebiasaan batu itu akan pecah bila dipukul dengan kuat. Pecahnya kerana kuatnya orang yang memukul. Jadi tidaklah begitu menghairankan. Tapi bila ada orang pukul batu yang keras dengan tangannya yang sememangnya lembut, tiba-tiba batu itu menjadi lekuk, tentulah sangat menghairankan. Tentulah ini suatu kejadian yang ajaib, yang diluar kekuasaan manusia. Dan orang yang dapat melakukan itu tentulah mempunyai hubungan dengan kuasa ghaib yang mempunyai kekuatan yang maha besar. Satu kekuatan yang dapat menghancurkan seluruh umat manusia sekiranya Dia kehendaki. Ini menyebabkan akan timbul rasa takut, hormat dan kagum pada orang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan kuasa agong ghaib itu. Orang-orang yang menyaksikan akan berkata sesama sendiri, " Orang ini sudah tentu bukan sebarangan orang. Dia bukan seperti kebanyakan orang-orang lain, yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Ini adalah orang yang dilindungi oleh kuasa ghaib. Sungguh dia benar-benar telah mengkagumkan aku dan aku benar-benar memandang besar kepadanya. Dia patut dihormati sekurang-kurangnya janganlah memandang rendah kepadanya. Sungguh mengkagumkan sekali."
Inilah yang dikatakan keramat kepada orang yang bukan nabi-nabi dan rasul-rasul. Sama sahaja perkaranya. Semuanya menunjukkan Allah swt campur tangan secara langsung di dalam urusan orang-orang yang sangat dekat hubungan denganNya. Bukan sekadar Allah swt mengawal hidup mereka secara ghaib, malah Allah swt terus campur tangan secara zahir demi untuk memperlihatkan kepada manusia betapa kasihnya Dia kepada orang-orang yang taat kepadaNya dan mengikut segala titah perintahNya dengan penuh kerelaan dan keikhlasan.
Allah swt memberi keramat kepada para kekasihNya yang bukan dari kalangan nabi-nabi dan rasul-rasul adalah mempunyai tujuan yang sama dengan mu'jizat. Sama-sama untuk melemahkan para musuh mereka. Sama-sama untuk menolong mereka di dalam menghadapi perlawanan musuh-musuh dan sama di dalam untuk memberi pertolongan kepada para WaliNya. Malah sama dengan tujuan semata-mata untuk memberi kemuliaan pada pandangan manusia. Sebab itu para wali Allah kadang-kadang diberi keramat dengan tujuan untuk mengalahkan musuh seperti yang diberikan kepada Sunan Giri di mana ketika ia berperang dengan orang-orang Hindu, tiba-tiba sahaja kerisnya terbang dengan sendirinya menikam musuh dan melukakan mereka kemudian kembali semula ke tangan Sunan Giri.
Kadang-kadang diberi keramat dengan tujuan untuk menolong para wali dan para pengikut mereka seperti yang berlaku kepada Sunan Bonang di mana dia telah memukul batu dengan tongkatnya menyebabkan terpancarnya matair daripada celah-celah batu itu di saat para pengikutnya sangat memerlukan di musim kemarau yang dahsyat. Kadang-kadang diberi keramat dengan tujuan untuk melemahkan musuh seperti yang diberikan kepada Sunan Kudus di mana orang yang mencuri barang-barang miliknya tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal dunia dengan penuh kehinaan. Malah kadang-kadang keramat diberi semata-mata untuk diperlihatkan kepada manusia betapa orang wali itu tidak boleh dipandang rendah bahkan perlu dihormati dan dikagumi sepertinya diberikanNya kepada Malik bin Dinar di mana dia dapat memanggil ikan-ikan dari dasar lautan dengan membawa di mulut mereka biji-biji mutiara yang sangat berharga itu.
Benarkah kepada Rasulullah saw tidak diberi mu'jizat yang tiada tujuan untuk mengalahkan musuh atau untuk menolong orang-orang Islam. Mu'jizat Rasulullah saw semuanya berlaku demi tujuan yang penting-penting? Kepada Nabi Musa as, Allah swt ada memberi beberapa mu'jizat yang tiada kepentingan yang besar. Hanyalah semata-mata untuk memperlihatkan kepada manusia betapa mulia dan terhormatnya Nabi Musa as di sisi Allah swt. Kenapakah kepada Nabi Musa as, Allah swt memberi mu'jizat jenis ini, tidak kepada Nabi Muhammad saw? Apakah kerana Nabi Musa as lebih mulia daripada Nabi Muhammad saw?
Siapa kata Nabi Muhammad saw tidak diberi mu'jizat yang tiada apa-apa tujuan selain untuk mempermuliakannya di hadapan manusia? Bukankah batu-batu dan kayu-kayu memberi salam dan mengucap dua kalimah syahadat dan berselawat ke atas Rasulullah saw itu bukan jenis mu'jizat yang semata-mata untuk memuliakan Rasulullah saw? Bukankah batang korma yang Rasulullah saw jadikan tangga mimbar masjid baginda tiba-tiba menangis seperti suara kanak-kanak setelah Rasulullah saw mahu membuangnya untuk diganti dengan yang baru, lalu berhenti menangis setelah Rasulullah saw memeluknya, bukan jenis mu'jizat yang semata-mata untuk memberi kemuliaan kepada Rasulullah saw? Bukankah unta-unta yang tidak mengerti apa-apa telah berlari datang mengadap Rasulullah saw setelah baginda memanggilnya dan duduk bersimpuh baginda dan terus mengucap dua kalimah syahadat itu mu'jizat yang semata-mata untuk memberi kemuliaan kepada baginda? Bukankah pohon-pohon korma yang tiba-tiba tercabut akarnya dan datang berlari-lari mengadap Rasulullah saw sambil mengucap dua kalimah syahadat dan berselawat kepada baginda adalah jenis mu'jizat yang semata-mata mahu memberi kemuliaan kepada baginda?
Kalaulah Nabi Musa as memukul batu besar sampai lekuk-lekuk merupakan satu mu'jizat yang tiada tujuan yang dapat difikirkan, maka samalah dengan batang korma yang menangis, pohon korma yang datang berjalan, unta yang datang mengucap kalimah syahadah, batu-batu dan kayu-kayu yang memberi salam dan berselawat juga adalah mu'jizat yang tiada tujuan yang besar melainkan semata-mata untuk memberi kemuliaan kepada Rasulullah saw dan Nabi Musa as. Bahkan Rasulullah saw diberi oleh Allah swt dengan mu'jizat seperti ini jauh lebih banyak daripada yang diberikan kepada Nabi Musa as. Ini menjadi bukti bahawa Rasulullah saw adalah lebih besar di sisi Allah swt daripada Nabi Musa as.
Bahkan kitab yang diturunkan kepada Nabi Musa as telah dinodai, sedangkan al-Qur'an yang diturunkan kepada Rasulullah saw tetap suci daripada disentuh oleh tangan-tangan kotor dan terpelihara hinggalah ke Hari Qiamat.
Kembali memperkatakan tentang keramat, para Wali Songo di Jawa adalah merupakan para penyebar agama Islam yang paling banyak diberi keramat oleh Allah swt yang bermacam-macam corak dan bentuk. Antaranya keramat yang semata-mata untuk memuliakan mereka. Sebagai contoh, puncak gunung Sembong tempat para Wali Songo melakukan ibadat di dalam gua di tengah-tengah gunung itu telah mengeluarkan suatu cahaya pada malam-malam bulan Ramadhan. Apakah tujuannya? Tidaklah ada tujuannya selain untuk mengagumkan orang ramai supaya mereka menjadi kagum pada para wali yang suci itu hingga menimbulkan perasaan sangat hormat dan ingin memuliakan mereka. Orang-orang yang menyaksikan perkara itu akan berkata, " Alangkah keramatnya para Wali Songo, hinggakan puncak gunung tempat mereka beribadat pun bercahaya. Tentulah ini disebabkan kasih Allah kepada mereka hinggakan Allah swt memperlihatkan keajaiban-keajaiban ke atas mereka sebagai tanda Allah sangat memerhati dan sentiasa mahu menolong di atas setiap urusan para kekasihNya."
Memang menjadi tabiat manusia mudah kagum kepada perkara-perkara yang anih-anih. Dan manusia sangat memuliakan seseorang yang dikurniakan keanihan-keanihan ke atas diri mereka. Tapi sifat-sifat keanihan yang bersifat menyempurnakan bukan bersifat mengurangkan. Orang pasti merasa kagum dan memandangnya satu kemuliaan yang patut dijunjung tinggi terhadap seseorang yang dapat menyembuhkan segala macam penyakit hanya dengan sentuhan tangannya sahaja. Misalnya Nabi Isa as, bila kaumnya sudah mengetahui bahawa beliau dapat menyembuhkan segala macam penyakit hanya dengan meletakkan telapak atau kulit tangannya ke atas tempat yang berpenyakit atau sakit itu, tiba-tiba sembuh, maka kaumnya terus berkejaran datang mengerumuninya dan merasa sangat kagum kepadanya. Mereka memandang ke wajahnya dengan penuh perhatian dengan perasaan kekaguman yang tidak dapat di gambarkan di dalam hati mereka. Alangkah mahalnya setiap yang ada pada badan Isa. Hingga rasanya mereka sanggup menjilat telapak kaki Nabi Isa as yang begitu mulia dan betapa ' besar ' dan ' mahal 'nya manusia Isa itu pada pandangan mereka.
Begitu juga dengan para Tabien. Mereka sangat merasa besar kepada setiap orang yang menjadi sahabat Rasulullah saw. Kerana selalu mendengar cerita-cerita betapa ' besarnya ' para sahabat Rasulullah saw, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik tiba-tiba sahaja menjadi sangat teringin untuk berjumpa dan melihat kepada sesiapa sahaja yang pernah hidup dan pernah melihat Rasulullah saw. Baginda merasa betapa tingginya darjat manusia yang sempat melihat Rasulullah saw. Baginda memerintah kepada penasihat dan orang-orang besar istana supaya mencari dan membawa ke hadapan baginda seorang sahabat Rasulullah saw yang masih hidup. Baginda sangat dukacita apabila diberitahu pada saat itu sudah tidak ada lagi seorang pun sahabat Rasulullah saw yang masih hidup. Baginda merasa benar-benar sedih kerana tidak dapat melihat golongan manusia yang sungguh mulia itu. Baginda terasa lebih ingin untuk melihat bekas-bekas telapak kaki para sahabat Rasulullah saw daripada melihat semulia-mulia manusia yang ada di masa itu ( para tabien yang paling mulia ). Hingga kerana sangat kasihnya baginda kepada para sahabat Rasulullah saw, tanah tidak mahu memakan jasad baginda setelah baginda wafat. Tatkala Khalifah Abbasiyyah yang pertama Abul Abbas as-Saffah mengamuk dengan menggali semua kubur-kubur para khalifah bani Umayyah kecuali kubur Khalifah Umar bin Abdul Aziz, didapati jasad Khalifah Hisyam bin Abdul Malik tidak hancur, hidup macam baru dikebumikan beberapa saat yang lalu. Padahal baginda meninggal dunia pada tahun 125 hijrah, sedangkan penggalian atau pembongkaran kubur khalifah-khalifah bani Umayyah itu terjadi pada tahun 132 hijrah iaitu setelah berlalu selama 7 tahun dari masa wafatnya Khalifah Hisyam. Inilah betapa mulianya para sahabat Rasulullah saw yang batang tubuh mereka penuh dengan keramat-keramat yang tidak ternilai.
Ashabul Kahfi yang tidur dalam gua selama 309 tahun juga adalah manusia-manusia keramat. Kekeramatan mereka adalah semata-mata pada tidur mereka yang begitu lama iaitu selama 309 tahun dan kekal mudanya rupa serta anggota badan mereka setelah mereka tidur selama masa yang sangat panjang itu. Apakah keramat tidur lama dan kekal muda anggota badan setelah tidur selama lebih 300 tahun itu ada mempunyai satu-satu tujuan? Apakah keramat tidur lama serta badan terus muda itu adalah bertujuan untuk mengalahkan musuh mereka? Tidak pula berlaku demikian, kerana Raja Diqyanus tidak mengalami apa-apa akibat dari tidur Wali Tujuh yang lama itu. Apakah dengan tujuan untuk membantu diri-diri mereka yang tujuh itu? Kalau bertujuan untuk membantu diri para Wali Tujuh itu tidak perlu kepada tidur yang begitu lama, hanya cukup dengan Allah memberi jalan kepada mereka untuk lari lebih jauh lagi yang akan tidak memungkinkan tentera Raja Diqyanus dapat mengesan jejak telapak kaki mereka. Yang jelas Allah swt menidurkan Wali Tujuh itu dengan begitu lama adalah bertujuan semata-mata untuk memuliakan mereka bertujuh itu pada pandangan manusia di kemudian hari. Ini terbukti apabila Tamlikha ketika keluar untuk membeli makanan di kota Tarsus dan setelah para penduduk kota Tarsus mengetahui yang dia adalah salah seorang daripada tujuh orang pemuda beriman yang lari menyelamatkan diri daripada kezaliman Raja Diqyanus lalu hilang sejak 300 tahun yang lampau, kini masih hidup dan masih tetap muda, maka raja yang memerintah di negeri itu ketika itu telah mengangkat Tamlikha ke atas bahu baginda kerana sangat kagum kepada kebesaran Tamlikha yang telah diberi keramat oleh Allah swt itu. Manakala orang ramai datang memegang betis, anggota badan dan mencium kaki Tamlikha. Betapa mulianya Tamlikha di mata masyarakat kota Tarsus kerana dia bersama-sama enam orang rakannya telah mengalami keramat tidur yang sebegitu lama.
Setiap kejadian yang anih-anih adalah merupakan sesuatu yang menakjubkan hati manusia. Kemuliaan seseorang raja adalah disebabkan untuk diangkat menjadi seorang raja adalah sesuatu yang amat-amat sukar dan jarang-jarang diperolehi oleh seseorang putera-putera raja itu. Ini menyebabkan seseorang atau putera raja yang dapat menjadi raja sangat dimuliakan, ditakuti dan dihormati oleh manusia. Begitu juga dengan seorang yang sangat pandai melukis. Kerana untuk menjadi seorang pelukis yang bijak itu adalah suatu yang amat sukar, maka orang ramai akan merasa hormat dan kagum kepada pelukis itu semata-mata kerana kepandaiannya melukis. Begitulah betapa mahalnya nilai seseorang yang payah, jarang-jarang dan malah yang bukan sebarangan orang yang dapat melakukannya. Demikianlah dengan keramat. Manusia akan menjadi sangat ta'jub kepada seseorang yang dikurniakan keramat. Seperti seorang sahabat yang sangat kagum kepada peribadi Rasulullah saw, maka begitulah juga dengan para tabien merasa terhadap seorang sahabat Nabi. Bila mereka tahu masih ada seorang sahabat Nabi yang masih hidup dan sudah sangat tua, maka ketika itu bergetarlah seluruh sendi-sendi anggota mereka kerana sangat teringin untuk berjumpa dan melihat wajah sahabat Rasulullah saw itu, bagaimanakah orangnya. Padahal rupa sahabat itu tidak ada apa-apa beza dengan mereka. Beginilah nilai kemuliaan seseorang yang diberi kemuliaan. Wassalam.

0 ulasan: