BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, November 21, 2009

Apakah Pengikut Taklid Buta Mazhab Sesat Dan Perlu Mencari Dalil Dari Al-Qur'an Dan Hadith Sendiri?

Ada orang menuduh bahawa para pengikut mazhab lebih beRasulkan kepada Imam Mazhab mereka berbanding kepada Nabi Muhammad saw. Mereka mengatakan ini kerana apabila ada hadith sahih yang bertentangan dengan pendapat Imam Mazhab mereka, para pengikut mazhab tidak mahu beramal dengan hadith yang sahih itu, sebaliknya tetap berpegang teguh kepada pendapat Imam Mazhab masing-masing. Pengikut mazhab Syafie berpegang teguh kepada pendapat Imam asy-Syafie. Pengikut Imam Hanafi berpegang teguh kepada pendapat Imam Abu Hanifah. Pengikut Imam Maliki berpegang teguh kepada pendapat Imam Malik bin Anas. Pengikut mazhab Hanbali berpegang teguh kepada pendapat Imam Ahmad bin Hanbal. Apakah benar tuduhan ini? Apakah benar para pengikut mazhab lebih beRasulkan Imam Mazhab masing-masing daripada Allah dan RasulNya?
Bersambung di lain hari insya Allah...........................

Saturday, July 4, 2009

Peranan Mu'jizat Dan Keramat Kepada Para Rasul Dan Wali

Apakah tujuan Allah swt mengurniakan mu'jizat kepada para rasulNya? Kita lihat ada bermacam-macam jenis mu'jizat yang diberikan kepada para rasul. Ada mu'jizat yang bersifat untuk menolong seseorang rasul di dalam perlaksanaan kerja dakwah mereka menghadapi umat mereka. Dan ada juga mu'jizat yang bukan untuk menolong mereka di dalam berdakwah, hanyalah semata-mata untuk menjadi bukti kerasulan mereka sahaja.
Apakah jenis mu'jizat yang diberikan oleh Allah swt kepada para rasulNya adalah sebagai penolong para rasulNya? Sebagai contoh ialah api yang tidak membakar Nabi Ibrahim as. Kedua baju Nabi Yusuf as yang dapat memberi kesembuhan atau kembali pulih mata Nabi Ya'qub as yang telah buta apabila baju itu dicampakkan ke atas mukanya. Ketiga tongkat Nabi Musa as yang dapat membelah laut sehingga menjadi berlorong dan kering dasarnya. Keempat tangan Nabi Daud as yang dapat melembutkan besi sehingga beliau dapat membuat senjata dengan memicit-micit besi sahaja. Kelima angin, segala binatang, segala jin dan syaitan yang bekerja untuk Nabi Sulaiman as. Keenam tangan Nabi Isa as yang dapat menyembuhkan segala penyakit yang tidak mampu disembuhkan oleh doktor dan ketujuh Nabi Muhammad saw hanya melontar pasir di dalam peperangan sehingga musuh tewas.
Itu adalah jenis-jenis mu'jizat yang diberikan oleh Allah swt kepada para rasulNya yang bertujuan untuk menolong perjuangan para rasulNya itu. Dan sudah tentu kita dapat memahami tujuan pemberian atau pengurniaan mu'jizat jenis itu kepada para rasulNya.
Ada satu jenis mu'jizat lagi yang diberikan kepada para rasulNya bukan di atas maksud untuk menolong perjuangan atau dakwah rasul itu, tetapi semata-mata mahu memuliakan mereka sahaja. Sebagai contoh ialah mu'jizat Nabi Musa as iaitu tangannya tiba-tiba bercahaya ketika beliau mengeluarkan dari bawah ketiaknya. Cahayanya pula lebih terang daripada cahaya matahari yang memancar pada tengahari. Satu lagi mu'jizat yang Allah swt berikan kepada Nabi Musa as yang semata-mata untuk memuliakannya sahaja ialah batu menjadi lekuk apabila beliau memukul dengan tangannya sahaja. Ini terjadi ketika beliau mandi di sebuah sungai dan batu melarikan pakaian beliau yang beliau letakkan di atas batu di tepi sungai itu. Peristiwanya bermula dengan cara Nabi Musa as berpakaian iaitu kemas dan rapi dan tidak gemar mandi bersama-sama dengan orang ramai. Pada masa itu orang-orang Israil apabila mandi, mereka mandi secara beramai-ramai dan bertelanjang bulat. Jadi mereka dapat melihat aurat antara satu dengan yang lain. Sikap Nabi Musa as yang tidak suka mandi bersama-sama mereka itu telah menyebabkan kaumnya membuat fitnah dengan mengatakan Nabi Musa as mengalami penyakit buah zakar besar sebab itu dia malu untuk mandi di tempat keramaian. Padahal Nabi Musa as tidak suka mandi dengan bercampur gaul itu. Maka Allah swt mahu memperlihatkan aurat Nabi Musa as kepada kaumnya yang menyangka buruk kepada nabi mereka itu.
Maka berlakulah peristiwa di atas dimana ketika Nabi Musa as mahu mandi, beliau telah memencilkan diri di tempat yang agak terasing daripada orang ramai. Di sana beliau menanggal pakaian beliau dan diletakkan di atas sebuah batu yang agak besar yang terdapat dekat beliau mandi itu. Ketika beliau sudah selesai mandi dan mahu mengambil pakaiannya, tiba-tiba batu itu berlari seperti kura-kura tetapi agak pantas juga menuju ke tempat orang ramai sedang mandi, namun Nabi Musa as sempat mengejar dan menangkap batu itu serta menumbuk dengan tangannya sehingga batu itu jadi lekuk-lekuk. Orang ramai terus mengambil peluang itu dan mendapati Nabi Musa as tidak mengalami apa-apa penyakit burut buah zakar seperti yang mereka fitnahkan.
Marilah kita memperkatakan satu persatu tentang kedua-dua mu'jizat Nabi Musa as ini.
Kalau kita fikir sekali imbas, buat apa Allah swt menjadikan tangan Nabi Musa as bercahaya berkilau-kilauan seperti cahaya matahari, hingga menyilau mata yang memandang kepadanya? Kalau semata-mata untuk memberi cahaya kepada Nabi Musa as, apakah tidak boleh Allah swt menurunkan sebuah lampu suluh dari langit dan diberikan kepada Nabi Musa as? Tentulah tidak lain selain daripada Allah swt mahu memperlihatkan kepada manusia bahawa Dia dapat melakukan segala sesuatu tanpa semestinya berhukum kepada sebab dan akibat. Juga untuk memberitahu kepada manusia bahawa Nabi Musa as itu adalah orang Allah atau Kekasih Allah. Jadi mu'jizat ini adalah semata-mata untuk memuliakan Nabi Musa as pada pandangan mata kaumnya.
Juga apakah gunanya Allah swt menjadikan batu yang keras itu lekuk-lekuk akibat dipukul oleh tangan Nabi Musa as? Apakah tujuanya? Apakah manfaatnya kepada Nabi Musa as dan kaumnya? Apakah ianya bertujuan untuk mengalahkan musuh, iaitu apabila Nabi Musa as memukul batu itu dan ianya lekuk menyebabkan musuh kalah? Atau apakah untuk memberi pertolongan kepada Nabi Musa as iaitu dengan lekuknya batu itu kerana dipukul oleh Nabi Musa as dengan tangannya, menyebabkan makanan keluar dari dalam batu itu, atau terbinanya sebuah rumah yang kukuh? Atau apakah dengan lekuknya batu itu akibat dipukul-pukul dengan marahnya oleh Nabi Musa as dengan tangannya menyebabkan musuh jadi kecut hati setelah melihat kekuatan tenaga Nabi Musa as? Kalau untuk menunjukkan kekuatan Nabi Musa as, supaya musuh-musuh atau kaumnya yang degil-degil, tentulah lebih baik batu itu pecah berkecai daripada menjadi lekuk!
Jadi jelaslah kepada kita bahawa tujuan Allah swt menjadikan batu yang melarikan pakaian Nabi Musa as lekuk-lekuk setelah dipukul oleh Nabi Musa as dengan tangannya adalah tidak lain daripada untuk memperlihatkan kepada manusia bahawa Nabi Musa as adalah seorang nabi lagi rasul yang sebenarnya diutuskan oleh Allah swt kepada kaumnya bani Israil. Lekuknya batu kerana dipukul oleh tangan Nabi Musa as adalah merupakan suatu yang sangat melemahkan manusia terutama musuh-musuh Allah swt. Kerana kalaulah batu itu pecah, tentulah manusia tidak akan merasa begitu pelik kerana sudah menjadi kebiasaan batu itu akan pecah bila dipukul dengan kuat. Pecahnya kerana kuatnya orang yang memukul. Jadi tidaklah begitu menghairankan. Tapi bila ada orang pukul batu yang keras dengan tangannya yang sememangnya lembut, tiba-tiba batu itu menjadi lekuk, tentulah sangat menghairankan. Tentulah ini suatu kejadian yang ajaib, yang diluar kekuasaan manusia. Dan orang yang dapat melakukan itu tentulah mempunyai hubungan dengan kuasa ghaib yang mempunyai kekuatan yang maha besar. Satu kekuatan yang dapat menghancurkan seluruh umat manusia sekiranya Dia kehendaki. Ini menyebabkan akan timbul rasa takut, hormat dan kagum pada orang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan kuasa agong ghaib itu. Orang-orang yang menyaksikan akan berkata sesama sendiri, " Orang ini sudah tentu bukan sebarangan orang. Dia bukan seperti kebanyakan orang-orang lain, yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Ini adalah orang yang dilindungi oleh kuasa ghaib. Sungguh dia benar-benar telah mengkagumkan aku dan aku benar-benar memandang besar kepadanya. Dia patut dihormati sekurang-kurangnya janganlah memandang rendah kepadanya. Sungguh mengkagumkan sekali."
Inilah yang dikatakan keramat kepada orang yang bukan nabi-nabi dan rasul-rasul. Sama sahaja perkaranya. Semuanya menunjukkan Allah swt campur tangan secara langsung di dalam urusan orang-orang yang sangat dekat hubungan denganNya. Bukan sekadar Allah swt mengawal hidup mereka secara ghaib, malah Allah swt terus campur tangan secara zahir demi untuk memperlihatkan kepada manusia betapa kasihnya Dia kepada orang-orang yang taat kepadaNya dan mengikut segala titah perintahNya dengan penuh kerelaan dan keikhlasan.
Allah swt memberi keramat kepada para kekasihNya yang bukan dari kalangan nabi-nabi dan rasul-rasul adalah mempunyai tujuan yang sama dengan mu'jizat. Sama-sama untuk melemahkan para musuh mereka. Sama-sama untuk menolong mereka di dalam menghadapi perlawanan musuh-musuh dan sama di dalam untuk memberi pertolongan kepada para WaliNya. Malah sama dengan tujuan semata-mata untuk memberi kemuliaan pada pandangan manusia. Sebab itu para wali Allah kadang-kadang diberi keramat dengan tujuan untuk mengalahkan musuh seperti yang diberikan kepada Sunan Giri di mana ketika ia berperang dengan orang-orang Hindu, tiba-tiba sahaja kerisnya terbang dengan sendirinya menikam musuh dan melukakan mereka kemudian kembali semula ke tangan Sunan Giri.
Kadang-kadang diberi keramat dengan tujuan untuk menolong para wali dan para pengikut mereka seperti yang berlaku kepada Sunan Bonang di mana dia telah memukul batu dengan tongkatnya menyebabkan terpancarnya matair daripada celah-celah batu itu di saat para pengikutnya sangat memerlukan di musim kemarau yang dahsyat. Kadang-kadang diberi keramat dengan tujuan untuk melemahkan musuh seperti yang diberikan kepada Sunan Kudus di mana orang yang mencuri barang-barang miliknya tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal dunia dengan penuh kehinaan. Malah kadang-kadang keramat diberi semata-mata untuk diperlihatkan kepada manusia betapa orang wali itu tidak boleh dipandang rendah bahkan perlu dihormati dan dikagumi sepertinya diberikanNya kepada Malik bin Dinar di mana dia dapat memanggil ikan-ikan dari dasar lautan dengan membawa di mulut mereka biji-biji mutiara yang sangat berharga itu.
Benarkah kepada Rasulullah saw tidak diberi mu'jizat yang tiada tujuan untuk mengalahkan musuh atau untuk menolong orang-orang Islam. Mu'jizat Rasulullah saw semuanya berlaku demi tujuan yang penting-penting? Kepada Nabi Musa as, Allah swt ada memberi beberapa mu'jizat yang tiada kepentingan yang besar. Hanyalah semata-mata untuk memperlihatkan kepada manusia betapa mulia dan terhormatnya Nabi Musa as di sisi Allah swt. Kenapakah kepada Nabi Musa as, Allah swt memberi mu'jizat jenis ini, tidak kepada Nabi Muhammad saw? Apakah kerana Nabi Musa as lebih mulia daripada Nabi Muhammad saw?
Siapa kata Nabi Muhammad saw tidak diberi mu'jizat yang tiada apa-apa tujuan selain untuk mempermuliakannya di hadapan manusia? Bukankah batu-batu dan kayu-kayu memberi salam dan mengucap dua kalimah syahadat dan berselawat ke atas Rasulullah saw itu bukan jenis mu'jizat yang semata-mata untuk memuliakan Rasulullah saw? Bukankah batang korma yang Rasulullah saw jadikan tangga mimbar masjid baginda tiba-tiba menangis seperti suara kanak-kanak setelah Rasulullah saw mahu membuangnya untuk diganti dengan yang baru, lalu berhenti menangis setelah Rasulullah saw memeluknya, bukan jenis mu'jizat yang semata-mata untuk memberi kemuliaan kepada Rasulullah saw? Bukankah unta-unta yang tidak mengerti apa-apa telah berlari datang mengadap Rasulullah saw setelah baginda memanggilnya dan duduk bersimpuh baginda dan terus mengucap dua kalimah syahadat itu mu'jizat yang semata-mata untuk memberi kemuliaan kepada baginda? Bukankah pohon-pohon korma yang tiba-tiba tercabut akarnya dan datang berlari-lari mengadap Rasulullah saw sambil mengucap dua kalimah syahadat dan berselawat kepada baginda adalah jenis mu'jizat yang semata-mata mahu memberi kemuliaan kepada baginda?
Kalaulah Nabi Musa as memukul batu besar sampai lekuk-lekuk merupakan satu mu'jizat yang tiada tujuan yang dapat difikirkan, maka samalah dengan batang korma yang menangis, pohon korma yang datang berjalan, unta yang datang mengucap kalimah syahadah, batu-batu dan kayu-kayu yang memberi salam dan berselawat juga adalah mu'jizat yang tiada tujuan yang besar melainkan semata-mata untuk memberi kemuliaan kepada Rasulullah saw dan Nabi Musa as. Bahkan Rasulullah saw diberi oleh Allah swt dengan mu'jizat seperti ini jauh lebih banyak daripada yang diberikan kepada Nabi Musa as. Ini menjadi bukti bahawa Rasulullah saw adalah lebih besar di sisi Allah swt daripada Nabi Musa as.
Bahkan kitab yang diturunkan kepada Nabi Musa as telah dinodai, sedangkan al-Qur'an yang diturunkan kepada Rasulullah saw tetap suci daripada disentuh oleh tangan-tangan kotor dan terpelihara hinggalah ke Hari Qiamat.
Kembali memperkatakan tentang keramat, para Wali Songo di Jawa adalah merupakan para penyebar agama Islam yang paling banyak diberi keramat oleh Allah swt yang bermacam-macam corak dan bentuk. Antaranya keramat yang semata-mata untuk memuliakan mereka. Sebagai contoh, puncak gunung Sembong tempat para Wali Songo melakukan ibadat di dalam gua di tengah-tengah gunung itu telah mengeluarkan suatu cahaya pada malam-malam bulan Ramadhan. Apakah tujuannya? Tidaklah ada tujuannya selain untuk mengagumkan orang ramai supaya mereka menjadi kagum pada para wali yang suci itu hingga menimbulkan perasaan sangat hormat dan ingin memuliakan mereka. Orang-orang yang menyaksikan perkara itu akan berkata, " Alangkah keramatnya para Wali Songo, hinggakan puncak gunung tempat mereka beribadat pun bercahaya. Tentulah ini disebabkan kasih Allah kepada mereka hinggakan Allah swt memperlihatkan keajaiban-keajaiban ke atas mereka sebagai tanda Allah sangat memerhati dan sentiasa mahu menolong di atas setiap urusan para kekasihNya."
Memang menjadi tabiat manusia mudah kagum kepada perkara-perkara yang anih-anih. Dan manusia sangat memuliakan seseorang yang dikurniakan keanihan-keanihan ke atas diri mereka. Tapi sifat-sifat keanihan yang bersifat menyempurnakan bukan bersifat mengurangkan. Orang pasti merasa kagum dan memandangnya satu kemuliaan yang patut dijunjung tinggi terhadap seseorang yang dapat menyembuhkan segala macam penyakit hanya dengan sentuhan tangannya sahaja. Misalnya Nabi Isa as, bila kaumnya sudah mengetahui bahawa beliau dapat menyembuhkan segala macam penyakit hanya dengan meletakkan telapak atau kulit tangannya ke atas tempat yang berpenyakit atau sakit itu, tiba-tiba sembuh, maka kaumnya terus berkejaran datang mengerumuninya dan merasa sangat kagum kepadanya. Mereka memandang ke wajahnya dengan penuh perhatian dengan perasaan kekaguman yang tidak dapat di gambarkan di dalam hati mereka. Alangkah mahalnya setiap yang ada pada badan Isa. Hingga rasanya mereka sanggup menjilat telapak kaki Nabi Isa as yang begitu mulia dan betapa ' besar ' dan ' mahal 'nya manusia Isa itu pada pandangan mereka.
Begitu juga dengan para Tabien. Mereka sangat merasa besar kepada setiap orang yang menjadi sahabat Rasulullah saw. Kerana selalu mendengar cerita-cerita betapa ' besarnya ' para sahabat Rasulullah saw, Khalifah Hisyam bin Abdul Malik tiba-tiba sahaja menjadi sangat teringin untuk berjumpa dan melihat kepada sesiapa sahaja yang pernah hidup dan pernah melihat Rasulullah saw. Baginda merasa betapa tingginya darjat manusia yang sempat melihat Rasulullah saw. Baginda memerintah kepada penasihat dan orang-orang besar istana supaya mencari dan membawa ke hadapan baginda seorang sahabat Rasulullah saw yang masih hidup. Baginda sangat dukacita apabila diberitahu pada saat itu sudah tidak ada lagi seorang pun sahabat Rasulullah saw yang masih hidup. Baginda merasa benar-benar sedih kerana tidak dapat melihat golongan manusia yang sungguh mulia itu. Baginda terasa lebih ingin untuk melihat bekas-bekas telapak kaki para sahabat Rasulullah saw daripada melihat semulia-mulia manusia yang ada di masa itu ( para tabien yang paling mulia ). Hingga kerana sangat kasihnya baginda kepada para sahabat Rasulullah saw, tanah tidak mahu memakan jasad baginda setelah baginda wafat. Tatkala Khalifah Abbasiyyah yang pertama Abul Abbas as-Saffah mengamuk dengan menggali semua kubur-kubur para khalifah bani Umayyah kecuali kubur Khalifah Umar bin Abdul Aziz, didapati jasad Khalifah Hisyam bin Abdul Malik tidak hancur, hidup macam baru dikebumikan beberapa saat yang lalu. Padahal baginda meninggal dunia pada tahun 125 hijrah, sedangkan penggalian atau pembongkaran kubur khalifah-khalifah bani Umayyah itu terjadi pada tahun 132 hijrah iaitu setelah berlalu selama 7 tahun dari masa wafatnya Khalifah Hisyam. Inilah betapa mulianya para sahabat Rasulullah saw yang batang tubuh mereka penuh dengan keramat-keramat yang tidak ternilai.
Ashabul Kahfi yang tidur dalam gua selama 309 tahun juga adalah manusia-manusia keramat. Kekeramatan mereka adalah semata-mata pada tidur mereka yang begitu lama iaitu selama 309 tahun dan kekal mudanya rupa serta anggota badan mereka setelah mereka tidur selama masa yang sangat panjang itu. Apakah keramat tidur lama dan kekal muda anggota badan setelah tidur selama lebih 300 tahun itu ada mempunyai satu-satu tujuan? Apakah keramat tidur lama serta badan terus muda itu adalah bertujuan untuk mengalahkan musuh mereka? Tidak pula berlaku demikian, kerana Raja Diqyanus tidak mengalami apa-apa akibat dari tidur Wali Tujuh yang lama itu. Apakah dengan tujuan untuk membantu diri-diri mereka yang tujuh itu? Kalau bertujuan untuk membantu diri para Wali Tujuh itu tidak perlu kepada tidur yang begitu lama, hanya cukup dengan Allah memberi jalan kepada mereka untuk lari lebih jauh lagi yang akan tidak memungkinkan tentera Raja Diqyanus dapat mengesan jejak telapak kaki mereka. Yang jelas Allah swt menidurkan Wali Tujuh itu dengan begitu lama adalah bertujuan semata-mata untuk memuliakan mereka bertujuh itu pada pandangan manusia di kemudian hari. Ini terbukti apabila Tamlikha ketika keluar untuk membeli makanan di kota Tarsus dan setelah para penduduk kota Tarsus mengetahui yang dia adalah salah seorang daripada tujuh orang pemuda beriman yang lari menyelamatkan diri daripada kezaliman Raja Diqyanus lalu hilang sejak 300 tahun yang lampau, kini masih hidup dan masih tetap muda, maka raja yang memerintah di negeri itu ketika itu telah mengangkat Tamlikha ke atas bahu baginda kerana sangat kagum kepada kebesaran Tamlikha yang telah diberi keramat oleh Allah swt itu. Manakala orang ramai datang memegang betis, anggota badan dan mencium kaki Tamlikha. Betapa mulianya Tamlikha di mata masyarakat kota Tarsus kerana dia bersama-sama enam orang rakannya telah mengalami keramat tidur yang sebegitu lama.
Setiap kejadian yang anih-anih adalah merupakan sesuatu yang menakjubkan hati manusia. Kemuliaan seseorang raja adalah disebabkan untuk diangkat menjadi seorang raja adalah sesuatu yang amat-amat sukar dan jarang-jarang diperolehi oleh seseorang putera-putera raja itu. Ini menyebabkan seseorang atau putera raja yang dapat menjadi raja sangat dimuliakan, ditakuti dan dihormati oleh manusia. Begitu juga dengan seorang yang sangat pandai melukis. Kerana untuk menjadi seorang pelukis yang bijak itu adalah suatu yang amat sukar, maka orang ramai akan merasa hormat dan kagum kepada pelukis itu semata-mata kerana kepandaiannya melukis. Begitulah betapa mahalnya nilai seseorang yang payah, jarang-jarang dan malah yang bukan sebarangan orang yang dapat melakukannya. Demikianlah dengan keramat. Manusia akan menjadi sangat ta'jub kepada seseorang yang dikurniakan keramat. Seperti seorang sahabat yang sangat kagum kepada peribadi Rasulullah saw, maka begitulah juga dengan para tabien merasa terhadap seorang sahabat Nabi. Bila mereka tahu masih ada seorang sahabat Nabi yang masih hidup dan sudah sangat tua, maka ketika itu bergetarlah seluruh sendi-sendi anggota mereka kerana sangat teringin untuk berjumpa dan melihat wajah sahabat Rasulullah saw itu, bagaimanakah orangnya. Padahal rupa sahabat itu tidak ada apa-apa beza dengan mereka. Beginilah nilai kemuliaan seseorang yang diberi kemuliaan. Wassalam.

Siapakah Sebenarnya Ahlis Sunnah Wal Jamaah?

Semua umat Islam tahu bahawa Sayyidina Ali bin Abu Talib dan Mu'awiyah bin Abu Sufyan kedua-duanya adalah sahabat Rasulullah saw. Bahkan semua umat Islam tahu bahawa Sayyidina Ali bin Abu Talib ialah saudara sepupu Rasulullah saw merangkap anak angkat dan menantu baginda suami kepada puteri bongsu baginda yang paling baginda cintai Sayyidah Fatimah az-Zahra' rha. Dan semua umat Islam tahu bahawa Mu'awiyah bin Abu Sufyan adalah adik ipar Rasulullah saw kerana salah seorang isteri Rasulullah saw yang bernama Ummul Mu'minin Sayyidatina Ummu Habibah binti Abu Sufyan adalah kekandanya. Kedua-duanya sudahlah sahabat Nabi, bahkan orang-orang yang mempunyai pertalian kekeluargaan yang sangat dekat dengan baginda.
Namun yang malangnya, setelah wafatnya Rasulullah saw, telah terjadi persengketaan yang parah di antara Ali dengan Mu'awiyah. Bahkan sampai ke tahap saling serang menyerang dan bunuh membunuh. Kesudahannya golongan para penyokong Mu'awiyah dinamakan kaum Ahlis Sunnah wal Jamaah, manakala para pendokong Ali dinamakan kaum Syiah. Kaum Ahlis Sunnah wal Jamaah dikatakan golongan yang selamat di akhirat nanti. Ini dikatakan berdasarkan kepada hadith-hadith Rasulullah saw. Manakala golongan yang dinamakan Syiah yang merupakan para pendokong Sayyidina Ali bin Abu Talib dikatakan sebagai golongan yang tersesat dan bakal masuk neraka.
Tidakkah tuan-tuan dan sidang pembaca merasa hairan dengan label sebegini?
Marilah kita memulakan perbahasan mengenai perkara ini.
Dikatakan ada hadith yang menyebut bahawa, " Umat Islam akan berpecah kepada 73 puak. Hanya satu puak sahaja yang akan masuk syurga. Para sahabat bertanya Rasululah saw tentang puak yang satu itu? Rasulullah saw menjawab, " Itulah Ahlis Sunnah wal Jamaah."
Jelas hadith ini menunjukkan bahawa golongan Mu'awiyah bin Abu Sufyan yang akan masuk syurga, manakala golongan Sayyidina Ali bin Abu Talib akan masuk neraka. Apakah masuk di akal tuan-tuan dan sidang pembaca blog saya ini tentang persoalan ini?
Baiklah mari kita buat satu pertanyaan, ketika Sayyidina Ali bin Abu Talib menjadi Khalifah Irrasyidin yang keempat, siapakah ketika itu yang dinamakan kaum Ahlis Sunnah wal Jamaah? Apakah pihak pemerintah iaitu pihak Khalifah Ali bin Abu Talib atau pihak Mu'awiyah bin Abu Sufyan yang ketika itu adalah penentang pemerintah Islam?
Sebelum kita membicarakan lebih jauh persoalan ini, marilah kita melihat dahulu makna Ahlis Sunnah wal Jamaah. Ahlis Sunnah wal Jamaah bererti golongan yang berpegang kepada sunnah Rasulullah saw dan para sahabat baginda. Yang menjadi persoalan sekarang ialah apakah golongan Khalifah Ali bin Abu Talib itu tidak berpegang kepada sunnah Rasulullah saw dan tidak berpegang kepada pegangan para sahabat Rasulullah saw? Dan apakah ketika pihak Mu'awiyah bin Abu Sufyan yang merupakan pihak penderhaka sangat berpegang kepada sunnah Rasulullah saw dan pegangan para sahabat Rasulullah saw yang ramai?
Cuba kita telitikan, Khalifah Ali bin Abu Talib adalah pihak pemerintah, dan hidup serta menjalani kehidupan serta undang-undang atau polisi pemerintahan berdasarkan kepada ajaran al-Qur'an dan sunnah Nabi, dan disokong pula oleh segolongan besar para sahabat Rasulullah saw. Sudah tentu pihak Khalifah Ali bin Abu Talib ketika itu adalah golongan yang dikatakan Ahlis Sunnah wal Jamaah. Manakala pihak Mu'awiyah bin Abu Sufyan yang merupakan pihak pemberontak dan disokong oleh sebahagian para sahabat Rasulullah saw dan menjalani kehidupan agak mewah dan menyeleweng daripada sunnah-sunnah Rasulullah saw yang sederhana agak terkeluar sedikit daripada landasan puak yang dinamakan Ahlis Sunnah wal Jamaah. Jadi ketika ini pihak Khalifah Ali bin Abu Talib yang sepatutnya dinamakan golongan Ahlis Sunnah wal Jamaah, bukan pihak Mu'awiyah bin Abu Sufyan.
Di kalangan para sahabat Nabi telah berlaku perselisihan hebat sebaik sahaja Rasulullah saw wafat. Mereka telah berpecah kepada tiga golongan atau puak. Golongan pertama ialah golongan Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin al-Khattab dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah. Golongan kedua ialah golongan Ali bin Abu Talib. Manakala golongan ketiga ialah golongan Saad bin Ubadah al-Ansari. Tetapi dua puak iaitu puak Abu Bakar dan puak Ali telah bercantum kembali setelah Fatimah rha wafat. Manakala Saad bin Ubadah telah melarikan diri ke negeri Syam. Di saat itu jadilah para sahabat Rasulullah saw satu jamaah yang kuat di bawah pimpinan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Kestabilan ini berpanjangan hinggalah ke zaman enam tahun pertama pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.
Setelah masuk enam tahun kedua atau tahun ke tujuh pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, pergolakan dan perpecahan kembali semula iaitu di antara pihak Khalifah dengan para sahabat Nabi dari Mesir, Kufah, Basrah dan juga segolongan sahabat Nabi yang berdiam di kota Madinah sendiri seperti Ummul Mu'minin Aisyah, Abu Zar al-Ghifari dan Ali bin Abu Talib sendiri. Sahabat yang tinggal di Madinah yang mulai retak hubungannya dengan Khalifah Uthman bin Affan kerana mempersoalkan kebijaksanaan politik khalifah ialah Aisyah, Ammar bin Yasir, Abu Zar al-Ghifari dan Ali. Sahabat dari Mesir ialah Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq. Manakala sahabat-sahabat dari Kufah dan Basrah tidaklah saya ketahui mereka kerana kedangkalan pengetahuan saya sendiri.
Setelah terjadi pembunuhan ke atas Khalifah Uthman bin Affan, para sahabat Rasulullah saw terus berpecah. Satu golongan di bawah pimpinan Sayyidina Ali bin Abu Talib yang berpusat di kota Kufah sebagai khalifah umat Islam yang sah. Satu golongan lagi di bawah pimpinan Mu'awiyah bin Abu Sufyan yang berpusat di kota Damsyik, ibukota negeri Syam sebagai golongan pemberontak yang keliru. Setelah Ali wafat, umat Islam bersatu kembali di bawah panji-panji Khalifah Mu'awiyah bin Abu Sufyan. Kemudian setelah Yazid putera Mu'awiyah menaiki kerusi khalifah umat Islam, para sahabat berpecah kembali iaitu setelah Abdullah bin az-Zubair lari ke kota Mekah, dan Husein putera Ali bin Abu Talib juga telah lari dari kota Madinah ke kota Mekah, kemudian ke kota Kufah.
Masa Marwan, Abdul Malik, al-Walid, Sulaiman, Yazid bin al-Walid, al-Walid bin Yazid hinggalah ke zaman Marwan bin Muhammad bin Marwan bin al-Hakkam umat Islam terus berpecah dan menentang kerajaan bani Umayyah.
Sekarang marilah kita membuat pengkajian tentang kedudukan hadith Ahlis Sunnah wal Jamaah itu sahaja Ahli Syurga. Siapakah Ahli Sunnah wal Jamaah di antara golongan Abu Bakar as-Siddiq, Umar dan Abu Ubaidah di satu pihak, Sayyidina Ali di satu pihak dan Saad bin Ubadah di satu pihak. Tentu jawabnya semua sahabat tak kira mereka di pihak Abu Bakar, Ali dan Saad adalah semuanya benar-benar berpegang kepada sunnah Rasulullah saw. Cuma yang ketiga-tiganya selisih hanyalah soal khalifah sahaja. Ini adalah soal pendapat. Soal ijtihad. Dan bagaimanakah pula dengan persoalan Wal Jamaah? Tentulah jawapannya pihak yang ramai iaitu pihak Abu Bakar. Manakala pihak Ali dan Saad adalah pihak yang sedikit. Dan tentunya mereka kedua yang akhir ini bukan termasuk Wal Jamaah.
Kalau begitu, di saat kekhalifahan Abu Bakar as-Siddiq selama enam bulan pertama pemerintahan baginda, maka pihak Ali dan pihak Saad bin Ubadah serta para pengikut mereka berdua bukanlah dapat dikira Ahlis Sunnah wal Jamaah. Maka pihak Ali dan para penyokongnya iaitu Ammar bin Yasir, Abu Zar al-Ghifari, Miqdad bin al-Aswad, Salman al-Farisi, Fatimah, Hasan, Husein dan beberapa orang lagi seperti Jabir bin Abdullah serta puak-puak Saad akan masuk neraka jahannam. Lojikkah?
Di dalam enam tahun pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan pula yang dikira bukan Ahlis Sunnah wal Jamaah pula ialah Siti Aisyah, Sayyidina Ali, Abu Zar al-Ghifari, Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq dan ramai lagi para sahabat dari Mesir, Kufah dan Basrah. Apakah mereka-mereka ini terutama Siti Aisyah, Sayyidina Ali, Abu Zar dan Muhammad bin Abu Bakar akan masuk neraka, lojikkah?
Di masa Ali menjadi khalifah yang bukan Ahlis Sunnah wal Jamaah pula ialah puak penyokong Mu'awiyah kerana di dalam peperangan Siffin tentera Ali seramai 98,000 orang, manakala tentera Mu'awiyah hanya seramai 85,000 orang. Jadi Mu'awiyah dan para penyokongnya adalah dari golongan sedikit dan pastinya bukan dari golongan Ahlis Sunnah wal Jamaah. Maka Mu'awiyah pula yang akan masuk neraka, lojikkah ini?
Setelah Yazid putera Mu'awiyah menjadi khalifah yang didokong oleh sebahagian besar umat Islam termasuk para sahabat nabi yang besar-besar, yang dikira bukan Ahlis Sunnah wal Jamaah pula ialah Abdullah bin az-Zubair dan Sayyidina Husein kerana mereka adalah dari puak penentang kerajaan dan sedikit pula. Jadi Ibnuz Zubair dan Husein cucunda Rasulullah saw pula yang akan masuk neraka. Apakah ini lojik? Selepas kemangkatan Khalifah Yazid, naik pula Marwan bin al-Hakkam, sedang golongan penentangnya adalah golongan yang sedikit, iaitu para pendokong perjuangan keturunan Sayyidina Ali yang terkenal baik-baik dan salih-salih, sedangkan yang menyokong kerajaan bani Umayyah kebanyakannya orang-orang yang tidak sesalih para pendokong perjuangan keturunan Ali yang digelar orang-orang SYIAH. Di sini ternyata bahawa para pendokong keluarga Sayyidina Ali akan masuk neraka. Sedangkan pendokong-pendokong kerajaan bani Umayyah semuanya akan masuk syurga kerana mereka adalah Jamaah Ahlis Sunnah.
Benar-benar menjadi pertanyaan kepada kita, apakah Ahlis Sunnah wal Jamaah itu ialah golongan yang ramai dari kalangan para sahabat Rasulullah saw? Sedangkan golongan para sahabat Rasulullah saw yang sedikit bukan Ahlis Sunnah wal Jamaah? Yang lebih anihnya di satu masa Sayyidina Ali dan pengikutnya akan masuk syurga, manakala Mu'awiyah dan para penyokongnya masuk neraka, iaitu di masa kekhalifahan Ali kerana jamaah umat Islam yang majoriti ialah para penyokong Khalifah Ali. Manakala di masa yang lain pula Mu'awiyah dan para pendokongnya masuk syurga. Manakala para penyokong Ali yang nyata-nyata kelmarin telah masuk syurga, hari ini masuk neraka pula iaitu di masa kekhalifahan Mu'awiyah dan Yazid, sebab masa ini para pendokong Mu'awiyah dan Yazid adalah majoriti umat Islam. Mengapa jadi begini? Kalau orang itu sudah masuk syurga, masakan pada saat itu juga ia akan masuk neraka?
Imam2 Abu Hanifah, Malik, asy-Syafie dan Ahmad bin Hanbal bukanlah dari jumlah umat Islam yang ramai. Abu Hanifah tidak mahu bekerjasama dengan Khalifah Marwan bin Muhammad dan Khalifah Abu Ja'far al-Mansur. Ia termasuk ke dalam puak yang sedikit kerana ia berkomplot dengan Zaid bin Ali, pemimpin pemberontak Syiah yang menentang kerajaan bani Umayyah. Semua mereka tidak mahu bekerjasama dengan pemerintahan yang didokong oleh orang-orang Islam yang ramai ( majoriti ).
Jelas di sini tidak lojiknya bahawa maksud hadith bahawa Ahlis Sunnah wal Jamaah ialah majoriti umat Islam yang bersatu di bawah satu pimpinan seorang ketua negara ( Khalifah, Raja, Sultan, Pemimpin Revolusi, Presiden dan PM ). Yang jelas maksud hadith ini ialah Ahlis Sunnah wal Jamaah yang satu-satunya daripada 70 firqah umat Islam yang akan masuk syurga ialah orang-orang yang mengikut sunnah-sunnah Rasulullah saw dan pertunjuk-pertunjuk baginda, bukannya orang-orang Islam yang bersekongkol di bawah satu pemerintah Islam yang tidak lagi berpegang kepada sunnah Rasulullah saw dan sunnah-sunnah para sahabat baginda.
Oleh kerana setiap para sahabat Rasulullah saw semuanya benar-benar berpegang kepada semua sunnah dan pertunjuk Rasulullah saw, maka maka orang-orang yang mengikut dan berpegang kepada pertunjuk Abu Bakar as-Siddiq dalam semua perkara, maka orang itu adalah dikira Ahlis Sunnah wal Jamaah. Orang-orang yang mengikut dan berpegang kepada pertunjuk Umar dia adalah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Orang-orang yang mengikut dan berpegang kepada pertunjuk Uthman adalah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Orang yang mengikut dan berpegang kepada pertunjuk Ali maka dia adalah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Orang-orang yang mengikut dan berpegang kepada pertunjuk Aisyah, adalah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Demikianlah orang-orang yang berpegang dan mengikut pertunjuk salah seorang daripada sahabat-sahabat Rasulullah saw, maka dia sebenar-benarnya Ahlis Sunnah wal Jamaah, sekalipun ia seorang sahaja yang berada di satu pihak sedangkan orang-orang Islam yang majoriti berada di dalam kepaduan yang kukuh.
Teringat saya kepada kata-kata Abdullah bin Mas'ud, ulama' sahabat yang terkemuka, " Orang-orang yang teguh mengikut dan berpegang kepada sunnah-sunnah Rasulullah saw dan sunnah-sunnah para sahabat ( yang ia ikut dengan teguh salah seorang daripada mereka ) itulah orang-orang yang berada di atas jalan kebenaran biarpun dia hanya seorang diri." Ini menunjukkan bahawa orang-orang Ahlis Sunnah wal Jamaah itu bukanlah semestinya yang bersekongkol di dalam jemaah orang-orang Islam yang ramai, yang Islam pada nama, tidak pada amalan. Kerana setiap orang sahabat Rasulullah saw tak kira ia berada di dalam puak yang sedikit ( di pihak penentang kerajaan akibat persengketaan di antara mereka ), atau di dalam puak yang ramai ( kerana menyokong pemerintah ), semua mereka adalah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Kerana semua mereka makan dari pinggan yang satu, cuma cara mengunyah sahaja yang berlainan. Semua berpegang kepada sunnah-sunnah Rasulullah saw di dalam akidah dan amalan. Cuma batang tubuh mereka sahaja yang terpisah dari jemaah yang ramai.
Bersambung di lain ketika, insya' Allah..............................

Tuesday, June 16, 2009

Nabi-Nabi Dan Rasul-Rasul Hanya Dari Arab Dan Israil?

Kebanyakan kita mengetahui bahawa Allah swt tidak mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul melainkan dari kalangan bangsa Arab dan Israil sahaja. Tidak bangsa yang lain. Artinya bangsa-bangsa Cina, India, Yunani, Farsi, Rom dan lain-lain bangsa sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw hidup di dalam kejahilan dan kesesatan kepercayaan beratus-ratus abad lamanya. Apakah ini benar?
Tapi mungkin semua kita yang penah baca al-Qur'an telah pun bersua dengan ayat yang bermaksud, " Tiap-tiap umat itu Kami ( Allah swt ) telah utuskan rasul-rasul." Berpandukan kepada ayat di atas, jelas kepada kita bahawa setiap kelompok manusia sejak zaman batu lagi sama ada kelompok itu hidup di penjuru timur dunia, barat, utara, selatan atau tenggara tetaplah telah diutus nabi-nabi dan rasul-rasul dari bangsa mereka sendiri. Ini bererti bahawa telah diutuskan oleh Allah swt beberapa orang nabi-nabi dan rasul-rasul dari kalangan orang-orang Cina di negeri Cina, di kalangan orang-orang India di benua kecil India, di kalangan orang-orang Yunani, Farsi, Rom dan lain-lain bangsa yang pernah wujud di alam dunia ini.
Oleh itu saya pencaya bahawa Confucius, Mao Tze, Lao Tze dari bangsa Cina. Buddha dari India. Beberapa orang yang disebut sebagai tokoh-tokoh falsafah dari Yunani seperti Socrates, Plato, Aristotle, Xenophanes dan lain-lain lagi adalah nabi-nabi dan rasul-rasul belaka. Bahkan saya percaya bahawa Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam sejarah dunia itu ialah ' Iskandar ' Zulkarnain yang diceritakan oleh al-Qur'an, sekalipun ramai yang mendakwa bahawa Zulkarnain yang disebut dalam al-Qur'an itu bukan bukan Iskandar Zulkarnain dalam sejarah dunia. Kerana alasannya Iskandar Zulkarnain dalam sejarah dunia adalah seorang yang tidak beriman, zalim, pembuat maksiat dan lain-lain kejahatan yang dilakukannya. Adapun Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam al-Qur'an adalah seorang raja yang salih, beriman malah mungkin seorang nabi yang mulia. Lalu mereka mencari-cari siapakah Iskandar Zulkarnain yang di dalam al-Qur'an itu di dalam sejarah dunia. Lalu bertemulah kepada mereka seorang raja Farsi bernama Darius lll. Padahal raja itu amat jauh sejarah keagungan pemerintahannya jika dibandingkan dengan sejarah Iskandar Zulkarnainin Yang Agong atau Alexander The Great. Malah amat bertentangan pula sejarah mereka.
Raja Darius lll langsung tidak menguasai bumi timur dan barat seperti yang dilakukan oleh Iskandar Zulkarnain. Iskandar Zulkarnain menguasai bumi timur ( sehingga India ) dan barat ( iaitu separuh Laut Hitam ) serupa dengan yang disebut oleh al-Qur'an. Tapi kenapakah ahli-ahli sejarah dunia yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang bukan Islam tidak mahu mengakui Iskandar anak Raja Phillips dari negeri Macedunia itu ialah Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam al-Qur'an?
Tak lain semata-mata kerana dikatakan Iskandar Zulkarnain dari Macedunia ini adalah seorang raja kafir dan musyrik. Sedangkan Iskandar Zulkarnain dalam al-Qur'an adalah seorang suci dan beriman. Inilah sebabnya.
Sebenarnya saya telah menetapkan bahawa Iskandar Zulkarnain dari Macedunia itu adalah orang yang sama dengan ( Iskandar ) Zulkarnain dalam al-Qur'an. Kenapa saya berani berkata demikian? Sebab sejarah Iskandar Zulkarnain Macedunia itu sebenarnya tidak seperti yang ditulis dalam sejarah dunia. Sejarah yang sebenar hanyalah mengenai penaklukan dari barat ke timur. Manakala sejarah tentang peribadinya telah pun diselewengkan oleh penulis-penulis sejarah dunia yang berjiwa kotor yang sangat benci kepada raja besar yang suci lagi beriman kepada Allah swt.
Sejarah Iskandar Zulkarnain sebenarnya suci dan salih.
Kalau anda tidak percaya, cuba anda fikir dan perhatikan hal-hal nabi-nabi yang telah disucikan oleh lidah Rasulullah saw. Saya yakin kalaulah tidak kerana adanya wahyu kepada Rasulullah saw yang sudah pasti seluruh dunia mengatakan bahawa Nabi Lut as itu adalah penzina yang menzinai anak-anak perempuannya. Nabi Musa as itu seorang pembunuh kerana telah membunuh saudaranya Nabi Harun as di atas bukit Hud. Nabi Harun as pula adalah seorang nabi penyembah patung berhala, kerana menyembah patung anak lembu emas. Nabi Daud as adalah seorang perampas isteri orang kerana mengikut nafsu berahinya. Nabi Sulaiman as juga menyembah berhala kerana ingin menyenangkan hati isterinya yang ramai. Siti Maryam pula telah berzina. Manakala Nabi Isa as mengaku dirinya anak Allah swt.
Kenapakah orang-orang Islam sekarang tidak mengatakan bahawa nabi-nabi yang suci itu seperti yang ditulis oleh penulis-penulis Yahudi yang sangat jahat itu? Dan kenapakah orang-orang Islam sekarang mengakui pula kisah Iskandar Zulkarnain seperti yang ditulis oleh tangan-tangan kotor Yahudi?
Di sini jelas kepada kita bahawa orang-orang Islam tidak menerima kisah-kisah yang ditulis oleh tangan-tangan Yahudi, hanyalah kisah-kisah nabi dan rasul yang terkenal sahaja. Manakala kisah-kisah yang tidak disahkan oleh al-Qur'an, apakah orang itu nabi atau tidak, maka apabila tangan-tangan kotor Yahudi menulis untuk memburuk-burukkan mereka, orang-orang Islam tidak lagi terlintas di fikiran untuk menyangka lain daripada yang ditulis oleh ahli-ahli sejarah. Oleh itu setiap nabi-nabi, orang-orang suci yang tidak dibersih oleh al-Qur'an semuanya menjadi mangsa tangan jahat penulis-penulis Yahudi. Ajaran Socrates, Plato, Aristotles, Xenophanes, Buddha, Confucius, Lao Tse dan lain-lain telah diseleweng hinggakan tidak lagi ajaran-ajaran mereka itu sampai kepada Allah swt. Hinggakan segala para nabi yang suci telah dianggap hanya sebagai para pelupur ajaran-ajaran baru atau sekadar ajaran ahli falsafah sahaja.
Kisah Iskandar Zulkarnain sebenarnya telah diseleweng dan dihilangkan yang aslinya dan diganti dengan yang palsu. Supaya seluruh umat Islam dan umat-umat yang berdasarkan pokok akidahnya kepada ajaran para nabi tidak dapat lagi berbangga bahawa Iskandar Zulkarnain yang agong itu adalah Penakluk Dunia yang salih lagi beriman kepada Allah swt.
Lao Tze adalah seorang rasul dari bangsa China dan untuk orang-orang atau masyarakat China. Ini terbukti pada mukjizat yang dikurniakan oleh Allah swt kepadanya. Dikatakan sebiji mutiara seberat 6.5 karat berbentuk otak manusia bernilai antara US 50 juta - US 150 juta yang dipamir di Amerika Syarikat ( kalau tak silap penulis sekitar tahun 70an atau 80an ) yang dijumpai di Laut Filipina adalah berasal dari azimat yang disimpan oleh Lao Tze dalam sebiji tiram. Ceritanya suatu hari Lao Tze yang salih berjalan-jalan di tepi pantai dengan bertelekan sebuah tongkat di tangan. Kepalanya ditundukkan ke bumi tanda tawadhu' demikian juga matanya. Tiba-tiba ia terpandang sebutir tiram di tepi gigi air. Lantas ia memungutnya, kemudian dikeluarkan dari saku jubahnya sehelai lipatan kertas dan dimasukkan ke dalam tiram itu. Kemudian dicampakkan ke dalam laut sambil mulutnya kumat kumit membaca doa ke hadhirat Allah swt. Itulah tiram berkat yang pernah dijamah oleh tangan seorang Nabi Allah. Beberapa saksi ada menyebut bahawa mereka ada melihat wajah-wajah Buddha, Confucius dan Lao Tze di dalam mutiara itu seperti filem yang jelas kemudian hilang. Sungguh ajaib.
Demikianlah para nabi dan rasul yang Allah utuskan ke alam ini. Bahkan masih ramai lagi yang kita tidak ketahui sejarah mereka. Mereka lebih senang hidup di dalam alam bersama-sama Allah swt. Biarlah dunia tidak mengenali mereka secara tepat dan benar. Asalkan mereka sentiasa mendapat keredhaan Allah swt dunia dan akhirat.
Seandainya andaian saya yang disertai hujjah-hujjah ini tidak menepati kebenaran, saya tetap memohon keampunan kepada Allah swt, Tuhan saya yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang sepanjang masa, asalkan hamba-hambaNya tidak sombong untuk memohon keampunan kepadaNya.

Saturday, June 13, 2009

Al-Qur'an Sebenarnya Dari Allah SWT

Dalil (1)

Firman Allah swt bermaksud, " Jika kamu ( wahai manusia dan jin ) masih ragu-ragu tentang apa ( al-Qur'an ) yang Kami ( Allah swt ) turunkan kepada hamba Kami ( Nabi Muhammad saw ), maka hendaklah kamu datangkan satu surah yang sama dengannya. Dan mintalah pertolongan kepada ketua-ketua kamu ( yang tentunya pintar-pintar ) selain daripada Allah ( yang memang pakar dalam segala-galanya ) sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar ( di dalam mendakwa al-Qur'an adalah ciptaan Muhammad saw ) - al-Baqarah ayat 23.
Ini merupakan suatu tentangan yang paling anih dalam sejarah dan banyak menimbulkan kehairanan. Belum pernah dalam sejarah peradaban manusia, seorang pengarang yang berani mengaju tentangan seperti ini. Penulis mana pun tidak mungkin menghasilkan sebuah buku yang tidak dapat ditentang isinya oleh penulis lain, atau bahkan mungkin lebih baik. Setiap hasil penulisan manusia dalam bidang apapun mungkin sahaja isinya ditandingi oleh pengarang atau penulis lain. Tetapi untuk menentang bahawa ada kata-kata atau ayat yang tidak dapat ditandingi oleh manusia dan jin, dan ternyata tentangan tersebut betul-betul tidak mampu dijawab oleh seorang manusiapun di dalam sepanjang perjalanan sejarah dan peradaban, ini benar-benar satu mu'jizat yang otomatis membuktikan bahawa kata-kata yang dicabar tersebut bukan merupakan hasil otak manusia. Tetapi sebenarnya bersumber dari Tuhan, tidak mungkin dapat ditentang.
Dalam lembaran-lembaran sejarah Islam, tertulis peristiwa-peristiwa di mana para pelakunya tertipu dalam percobaan menjawab tentangan tersebut. Di antaranya ialah yang menimpa diri penyair Arab Lubaid ibn Rabi'ah yang terkenal dengan kepetahan kata-katanya, kefasihan lidahnya dan kekuatan syairnya. Pada waktu ia mendengar Rasulullah saw menentang orang ramai, lantas Lubaid merangkai beberapa buah syair menjawab tentangan tersebut. Syairnya itu kemudian ia gantungkan di pintu Ka'abah. Pada waktu itu menggantung syair di pintu Ka'abah adalah suatu hak istimewa yang hanya teruntuk kepada sekelompok kecil penyair terkenal jahiliyyah bangsa Arab. Tatkala salah seorang sahabat Rasulullah saw melihat perkara itu ( penggantungan syair Lubaid ), maka tersinggunglah perasaannya. Lantas ia menulis beberapa potong ayat al-Qur'an dan menggantungkannya di samping syair Lubaid. Pada hari berikutnya Lubaid melalui pintu Ka'abah ( ketika itu ia masih musyrik ) ia membaca dan sangat terpesona dengan ayat-ayat al-Qur'an itu, lantas dengan spontan ia menjerit, " Demi Allah! Ini bukan kata-kata manusia, dan aku termasuk orang-orang yang menyerah diri ( kepada Allah swt )."
Di antara pengaruh keindahan sastera al-Qur'an terhadap penyair besar bangsa Arab ini, Lubaid tidak mahu lagi mencipta syair. Pada suatu hari Khalifah Umar bin al-Khattab meminta kepadanya, " Wahai Abu Aqil! dendangkanlah untukku beberapa bait syairmu." Lubaid membaca surah al-Baqarah dan kemudian ia berkata kepada Khalifah Umar, " Wahai Amirul Mu'minin! Semenjak Allah swt mengajar kepadaku surah al-Baqarah dan surah ali Imran, aku tidak lagi mendendangkan syair-syair."
Bersambung insya' Allah....................................

Wednesday, June 10, 2009

Ahli Fekah Dan Ahli Hadith

Sekarang muncul satu puak orang-orang Islam kita yang sangat mencintai ajaran Islam yang tulin. Iaitu mereka ingin terus kembali kepada al-Qur'an dan hadith. Tidak mahu lagi mengamali hukum-hukum dan fatwa-fatwa di dalam kitab-kitab fekah yang sangat masyhur di zaman sekarang ini. Kata mereka, banyak fatwa-fatwa di dalam kitab-kitab fekah mengandungi bid'ah yang sesat. Tidak lagi bertepatan dengan kehendak-kehendak al-Qur'an dan hadith. Oleh itu mereka menyeru kepada seluruh umat Islam supaya mempelajari semula sumber asal hukum iaitu al-Qur'an dan hadith. Mereka juga mengatakan umat Islam sekarang berada di ambang kesesatan kerana tidak lagi berpegang kepada kedua-dua sumber asal iaitu al-Qur'an dan hadith. Hanya orang-orang yang berpegang kepada kedua sumber asal sahaja yang tidak akan sesat hingga ke Hari Qiamat, sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud, " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang mana kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu Kitabullah ( al-Qur'an ) dan sunnahku ( hadith-hadith )."
Cuba kita fikirkan, apakah benar perkataan mereka ini? Kalau tidak benar, bagaimana kita berani kata mereka tak benar sedangkan mereka ingin kembali kepada sumber asal? Dan pastinya mereka yang benar. Dan apakah lawan-lawan mereka yang kuat berpegang kepada kitab-kitab fekah itu sesat? kerana meninggal berpegang terus kepada al-Qur'an dan hadith!
Dan sesatlah kebanyakan para sahabat Nabi yang jahil-jahil, bodoh-bodoh dan yang hidup di alam keawaman. Kalau kita dibangkang, bagaimana dikatakan ada di kalangan para sahabat Nabi yang sesat yang dianggap jahil, bodoh dan hidup secara awam?.........bersambung insya' Allah....................

Monday, June 1, 2009

Pahlawan-Pahlawan Terbilang Melayu Alim?

Pahlawan-Pahlawan Melayu Pahang yang terbilang dan paling terkenal ialah Mat Kilau, Dato' Bahaman Orang Kaya Semantan dan Tok Gajah, ayah Mat Kilau. Bersama-sama ketiga pahlawan ini yang juga dianggap handal ialah Mat Lela, Awang Leh ( Saleh ), Awang Teh ( Latif )dan Awang Noh ( Yunus atau Nuh ).
Kalau kita membaca sejarah ulama'-ulama' Terengganu dari tahun 1850 - 1930an, kita akan menemui kisah beberapa orang ulama' Terengganu seperti Tokku Paluh dan Haji Abdul Rahman Limbong. Di zaman Tokku Paluhlah sedang membaranya api perjuangan pahlawan-pahlawan Pahang ini. Mereka dikatakan sering menghubungi Tokku Paluh di Terengganu.
Mungkin ramai daripada kita menganggap bahawa pahlawan-pahlawan Melayu kita tak kira dari mana mereka menggerakkan perjuangan mereka seperti Tok Janggut di Kelantan, Mat Saleh di Sabah, Datok Naning di Negeri Sembilan, Datok Maharaja Lela di Perak dan lain-lain semuanya tidak lebih daripada pendekar-pendekar dan pahlawan-pahlawan yang hanya tahu ilmu kependekaran sahaja. Mereka dianggap jahil di dalam ilmu-ilmu agama dan hukum hakam, malah mereka dianggap memiliki ilmu-ilmu batin yang tidak berasas. Perjuangan mereka menentang kaum kafir penjajah ( Inggeris ) dianggap tidak lebih daripada perjuangan kebangsaan yang menuntut kemerdekaan tanahair semata. Tidak melibatkan niat untuk mendaulatkan agama. Semata-mata untuk menghalau penjajah daripada terus meratah hasil-hasil negara sampai bila-bila dari bumi tercinta tanpa kesudahannya.
Besambung insya' Allah.............................